12. Formula yang Hanya Difahami oleh Rijal
SumberBAB 12 : Formula yang Hanya Difahami oleh Rijal
Dari fenomena sejarah da’i, kamu akan dapati ramai dari mereka telah bekerja dan berkorban banyak untuk dakwah dengan senyap dan tenang. Kesibukan mereka dalam kerja tarbiyah dan tajmi’i menghalang mereka dari membukukan pengalaman dan zouq fiqh dakwah yang mereka jumpai disepanjang masa tersebut. Hanya segelintir kecil sahaja yang meninggalkan tulisan dan penjelasan penemuan untuk generasi da’i selepas mereka.
Tetapi di samping fenomena tersebut, kamu akan dapati bahawa Allah S.W.T. mengilhamkan kepada mereka kefasihan dan kekuatan ‘balaghah’ yang luar biasa. Sehingga mereka mampu simpulkan mazhab dakwah mereka dalam hanya beberapa patah perkataan sahaja tetapi ianya cukup dijadikan usul fiqh dakwah yang penting bagi da’I selepas mereka. Kata-kata ini menjadi penunjuk jalan kepada pejalannya dan pengucapnya pula dianggap sebagai mahaguru di dalam dakwah.
Kadangkala kata-kata mereka hanya tidak lebih dari beberapa baris, tetapi ianya memberi kesan yang sangat penting kerana kemampuannya menjadi pembina hubungan dan pengikat di antara bahagian-bahagian Islam. Bahagian-bahagian ini menjadi besar sehingga memberi kesan yang sangat besar.
Perumpamaannya sama seperti angka-angka bersendirian yang mempunyai nilai kecil. Tetapi apabila datang pakar-pakar Matematik yang mampu membuat pelbagai bentuk hubungan antara angka-angka itu dalam formula Matematik, tersingkaplah pelbagai rahsia-rahsia ‘energy’ dan cara penggunaannya. Hinggakan Einstein menemui rahsia tenaga atom, cara mengeluarkannya dan cara meng’aplikasi’kannya hanyalah di atas sekeping kertas dengan sebatang pen dan dari angka-angka biasa.
Begitu juga para du’ah. Mereka membuat rajah-rajah hubungan antara adab-adab dan suruhan Islam yang membuka jalan yang luas untuk sesiapa yang hendak melaluinya. Mereka turut menentukan faktor-faktor pemutus dan titik-titik penentu. Ini adalah bukti kesedaran mendalam yang diberikan Allah kepada mereka dan apa yang mereka perolehi dari pengalaman yang panjang.
Sebagaimana formula matematik angka itu hanya dapat difahami oleh ahli matematik yang berfikir dan menganalisa sahaja, maka begitu juga formula dakwah ini tidak akan dapat difahami dan tidak dirasai nilainya kecuali oleh da’i yang merasai sendiri dan memikul beban dakwah. Orang yang jauh dari tugas dakwah hanya akan duduk bersantai dan membuat pelbagai alasan tidak dapat memahaminya.
Mengingkari Kemungkaran adalah tanda ‘nampak’
Ada di kalangan da’i ini yang mempunyai kepandaian luar biasa. Formula yang dibuatnya membuktikan kesempurnaan dan ketajaman akalnya. Tetapi dia ini tenggelam dan tidak dikenali. Beliau bernama Abu Bakar bin Yasdainar Rahimahullah.
Pernah seseorang bertanya kepadanya: “Apakah itu firasat iman?” Dia menjawab:
“Pandangan orang yang soleh dengan kesolehan yang mengandungi cahaya ketakwaan, keimanan, hakikat dan kebenaran, dengan zuhud di dunia dan kecintaan terhadap hari akhirat. Pandangan ini menjadikan dia berani mengingkari kemungkaran ahli mungkar.”
Perhatikanlah mesej besar di dalam kata-kata yang ringkas ini.
Beliau menjelaskan bahawasanya firasat itu menjadikan seseorang dai itu sangat-sangat yakin terhadap balasan Allah pada hari kiamat, menjadikannya mengenali betapa rendahnya nilai kelazatan dan kesenangan dunia yang terbatas, akan habis dan tak akan diperolehi nantinya. Keyakinan ini menyebabkan dia pun tampil dengan berani mengubah kemungkaran dan menentang pelaku kemungkaran.
Demi Allah, sesungguhnya itulah firasat yang tinggi yang menjadikan semua firasat yang lain menjadi kecil, sekalipun ianya benar. Perhatikan empat unsur yang mendorong pemiliknya untuk melaungkan suara kebenaran di hadapan manusia.
- Takwa, menyahut perintah Allah dan berhenti pada batas syubhat.
- Iman, sehingga dengan keyakinan pada akhiratnya dia mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang mati hatinya.
- Hakikat: Dia hidup di alam realiti, bukan keraguan dan khayalan dunia yang singkat dan fana.
- Hati yang benar di dalam membuat andaian dan lidah yang benar di dalam berkata-kata.
Ertinya, beliau tidak menentang secara umum sahaja atau ‘pusing-pusing sindiran’. Tetapi dia mengangkat jari telunjuknya dan menunjukkan kearah taghut dengan jelas kesilapan-kesilapannya. Dia mengangkat suaranya mendedahkan pekung kekufuran yang ada di hadapannya, menyebutkan nama, nombor dan alamatnya. Seterusnya dibuka baki lima jarinya untuk mengubah kemungkaran dengan tangannya, setelah ia menundingkannya dalam tuduhan.
Seterusnya perhatikanlah hubungan indah di antara enam mukadimah dalam bahagian awal formula dan pengkhususan dalam bahagian kedua. Ini menunjukkan kepada kita jalan bagaimana menggunakan tenaga Islam di dalam kehidupan manusia dan bagaimana mengalirkannya dari sumber mata airnya untuk menghilangkan dahaga orang yang sedang kehausan.
Sesungguhnya ianya memang tenaga-tenaga; sama seperti tenaga-tenaga yang ada di alam ini.
Ianya sama seperti tenaga solar, haba dan tenaga elektrik. Sepertimana Allah telah mencipta tenaga-tenaga ini di alam, begitu juga Allah telah menurunkan Al-Quran ini sebagai penyempurna kepada sunnah-sunnahNya di alam ini. Jika Allah menjadikan pakar-pakar Matematik dan Fizik sebagai orang yang dapat menemui rahsia-rahsia kegunaan tenaga untuk digunakan oleh manusia, maka begitu juga Allah telah menjadikan para da’I pula sebagai orang yang dapat meneroka rahsia-rahsia dari al-Quran.
Para Saintis membuat penyelidekan dan eksperimen di makmal untuk menterjemahkan formula dan design kepada alat yang boleh digunakan. Maka para fuqahak dakwah pula seperti Abu Bakar bin Yazdainar ini menterjemahkan formula mereka di dalam satu gerakan tanzim yang berusaha membetulkan keadaan manusia yang kacau-bilau.
Dari sini jelaslah kepentingan kajian dan penyelidekan dalam fiqh dakwah dan segala perancangan haraki yang lahir darinya. Peranan fiqh dakwah sampai bila-bila pun ialah menggariskan ciri-ciri yang sahih, melalui ungkapan kata-kata yang terang bagi amal yang luas dan terbentang.
Kegemilangan Fiqh Harakah terletak pada Amanah Dan Ijtihad
Saintis nuklear tidak layak untuk meremeh-remehkan Archimedes dan Pythagoras dan lain-lain saintis Greek purba kerana kehebatan dan kepentingan formula-formula mereka sebenarnya saling bantu-bantu bagi memacukan roda sains. Semua mereka melakukan suatu yang hebat bagi zaman masing-masing. Maka begitu juga da’i kini yang mencari-cari formula untuk dakwah ini; mereka tidak patut meremehkan pemimpin dan fuqaha’ dakwah lampau dan tidak patut membuat ‘tidak-tidak kenal’ mereka atau ‘mentadlis’ ketika berbicara dengan orangramai. Mereka hendaklah setia dan jujur dan menyebut ungkapan da’i Islam awal itu secara tepat sebagaimana yang mereka ingin sampaikan. Da’i hari ini sepatutnya memainkan peranan untuk menghidupkan, menghubungkan, menganalisa dan menampilkan mana yang penting dan menjelaskan apa-apa yang disepakati di kalangan mereka.
Ungkapan-ungkapan mereka yang telah tersembunyi dan dilupai pula perlu di ketengahkan dan dijadikan bahan perhatian, dibukakan hati-hati untuk memahaminya. Usaha ini seolah-olah menghidupkan kembali setelah ia mati atau menangkap kembali setelah ia terlepas.
Ahli fiqh dakwah Islam perlu menyedari sifat wajib bagi perbincangan dakwah ini. Dia tidak patut rasa cuak, ego dan eksyen untuk memetik kata-kata orang dahulu. Tidak patut dia jemu merujuk buku-buku ulamak dakwah terdahulu berulang-ulang kali. Sesungguhnya fiqh ini adalah kurniaan Allah kepada sebilangan kecil manusia yang dikasihiNya sahaja.
Tetapi dalam masa yang sama, janganlah takut untuk berijtihad dan mengemukakan pandangan baru. Fiqh dakwah tidak akan berkembang sekiranya da’i hanya bertahan pada perkara dan kaedah umum sahaja serta kekal pada perkara yang tidak ada khilaf. Walaupun begitu, mereka mesti berpegang kepada metodeologi kajian tanpa kompromi. Mereka mesti berpegang teguh pada usul-usul. Tidak boleh dibiarkan orang yang terburu-buru ‘musta’jil’ atau orang yang takut pada risiko pertarungan mempermain-mainkan prinsip itu, hingga mereka bertindak membuta tuli dan mengecewakan. Jangan biarkan juga mereka menjadi bahan umpan pihak berkuasa hingga mudah mengkafirkan orang lain.
Saya sangat kagum dengan kenyataan seorang da’i dalam majalah “al-Mujtama” mengenai perkara ini. Dia mengakui betapa besarnya peranan al-Syahid Syed Qutb dalam menjelaskan dan menggariskan manhaj tarbiyah harakiah. Demikian juga peranan yang dimainkan oleh al-Syahid Abdul Qadir Audah dalam menggariskan metode perundangan Islam setelah berlakunya kesedaran umum Islam yang dilakukan oleh Imam al-Syahid Hassan al-Banna. Ia mempersiapkan kedua-dua mereka dengan kesedaran itu. Begitu juga dengan peranan ketahanan pendirian yang ditunjukkan oleh Imam Hassan al-Hudhaibi.
Seterusnya penulis dalam penjelasan dan perincian itu menyentuh beberapa perbezaan pendapat yang didorong oleh kesungguhan, keikhlasan dan perasaan untuk memenuhi perubahan realiti. Kemudiannya disentuh tentang peranan ijma’ yang sentiasa menjadi penyelesai kepada segala perselisihan.
Penulis ini kemudiannya artikelnya dengan soalan: “Lihat, adakah harakah Islam ini mahu kembali kepada simple dan bentuk umum hanya kerana untuk mengelak dari kesukaran dan takutkan risiko? Atau harakah ini akan melangkah maju lebih jauh ke depan memperincikan dengan detail tetapi terpaksa membayar harga akibat kemajuan dan kemelataan ini?” 189
Disebalik persoalan ini sebenarnya tersimpan satu kesedaran yang sahih terhadap peranan kajian fiqh dakwah dalam memajukan dakwah meskipun selepas itu terpaksa menolak sebahagian dan ijtihad para pengkaji.
Sekiranya kajian-kajian itu tidak mengemukakan ijtihad baru sekalipun, maka ia akan menjadi penjelas kepada yang telah ada atau menjadi istilah yang mengkhususkan sesuatu. Kajian-kajian ini mungkin juga mengandungi fatwa ahli fiqh yang lama dan disegani yang menerangkan usul yang disangka baru atau sekurang-kurangnya memperdekatkan ijtihad orang-orang lain dengan pengakuan dan persetujuan daripada pertikaian ijma’.
Apabila hati telah berkarat, jiwa menjadi keruh dan semangat kian pudar, maka kisah-kisah yang meniupkan semangat, kata-kata kiasan dan madah atau syair yang tersusun indah yang terkandung di dalam kajian-kajian ini adalah sebaik-baik rawatan secara halus. Ia mengandungi pengilapan, pelembutan, pembersihan dan nyalaan api.
Kita Mulai dengan Mungkar Akbar
Mungkar yang dimaksudkan dalam perbincangan mereka ialah mungkar akbar iaitu mungkar berhukum dengan prinsip bukan Islam.
“Amar makruf sepatutnya ditumpukan kepada menyuruh kepada makruf akbar iaitu hanya menerima uluhiyyah Allah sahaja dan merealisasikan kewujudan mujtamak Islam.
Nahi mungkar pula hendaklah ditumpukan terlebih dahulu kepada menghalang mungkar akbar; iaitu kekuasaan taghut dan memperhambakan manusia bukan kepada Allah melalui penggunaan undang-undang yang bukan syariat Allah.
Mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW., telah berhijrah dan berjihad adalah demi untuk menegakkan sebuah daulah Islam yang berhukumkan syariah Allah. Mereka telah mendirikan sebuah mujtama’ yang dihukumkan dengan syariat ini. Apabila semua itu telah tertegak, mereka pun melakukan amar makruf dan nahi mungkar dalam perkara furu’ (cabang) pula samada menyuruh ketaatan dan melarang maksiat.
Sebelum tertegaknya daulah dan masyarakat Islam ini, mereka sedikitpun tidak menumpukan usaha mereka pada perkara-perkara furu’ (cabang) yang tidak akan tertegak kecuali setelah tertegaknya usul yang mantap ini.
Pengertian amar makruf nahi mungkar mesti difahami mengikut keperluan ‘waqi’. Tidak dijalankan amar makruf dan nahi mungkar pada perkara-perkara cabang sebelum selesai makruf dan mungkar yang akbar ini, sebagaimana ianya berlaku ketika permulaan mujtama’ Islam dulu.” 190
Tapi ini tidak bererti da’i dilarang dari belajar dan mengajar orang-orang yang bersama-samanya tentang adab-adab Islam dan hukum-hukum ibadat. Juga tidak bererti mereka dilarang dari nahi mungkar perkara-perkara cabang yang mungkin dapat dihilangkan dengan nahi ini. Tetapi prinsip ini adalah agar tidak tertipu dan dilalaikan dengan rasa memadai mencegah manusia daripada kemungkaran kecil tanpa melarang mereka dari mungkar akbar berhukum dengan prinsip bukan Islam. Ini juga untuk mengelakkan da’i merasai cukup dengan hanya memberi nasihat hal ehwal bersuci dan sujud sahwi tanpa berdepan menegakkan kebenaran, menuding jari kepada taghut, men’tajmik’ muslimin, mentarbiyyah mereka, menyelaraskan usaha dan menghalakan mereka ke arah kebangkitan menyeluruh.
Sesungguhnya Allah S.W.T. telah mengutus Nabi Muhammad S.A.W. untuk memerdekakan manusia, membebaskan manusia dari segala perkara yang memberatkan mereka dan belenggu yang mengikat mereka.191 Tetapi, Yahudi telah membawa manusia ini kembali kepada derita dan belenggu melalui parti-parti yang di bentuk di setiap tempat. Satu kebangkitan Islam yang menyeluruh amat-amat diperlukan bagi menghapuskan segala belenggu dan penderitaan yang memenatkan umat Islam ini sekian lama.
“Sesungguhnya ini adalah kerja besar. Soal perhambaan manusia, soal hidup mati, kebahagiaan dan kecelakaan mereka serta soal syurga dan neraka mereka. Inilah masalah kemanusiaan. Mesej dakwah ini samada disampaikan kepada manusia, mereka menerima dan mengikutinya, lalu berbahagia di dunia dan akhirat, ATAU jika tidak, ia akan menjadi hujjah bagi mereka di depan Allah nanti. Dosa celaka dan sesatnya manusia semuanya akan ditanggungkan ke atas mereka yang ditugaskan untuk menyampaikan risalah ini tetapi kemudiannya tidak melaksanakannya.
Para Rasul-Rasul telah melaksanakan amanah dan menyampaikan risalah ini. Mereka telah kembali kepada Tuhan setelah menyempurnakan tugas mereka dan telah terlepas dari tanggungjawab yang besar ini. Mereka bukan saja menyampaikan dakwah dengan lidah, tetapi juga dengan praktik qudwah, melalui jihad yang memenatkan siang dan malam demi untuk menghapuskan rintangan dan halangan (manusia dari Allah). Halangan ini sama ada dalam bentuk keraguan-keraguan atau kesesatan yang dihiaskan, atau juga taghut yang menyekat dan memalingkan manusia dari dakwah.
Seterusnya tugas yang berat itu tertanggung ke atas orang-orang selepas rasul yang beriman dengan risalah ini. Generasi demi generasi datang dan pergi selepas baginda saw. Usaha menyampaikan dakwah Islam tertanggung ke atas pengikut rasul. Mereka perlu menegakkan hujah Allah ke atas manusia. Tanggungjawab menyelamatkan mereka dari azab akhirat dan kecelakaan dunia tidak akan terlepas sehingga mereka melakukan tugas menyampaikan mesej ini. Mesti disampaikannya mengikut manhaj yang dilakukan oleh baginda saw.
Mesej tetap mesej yang sama dan manusia tetap manusia yang sama juga. Hari ini masih terdapat kesesatan, al-hawa, keraguan dan syahwat. Masih terdapat kuasa taghut yang menghalang manusia dari dakwah. Mereka cuba memalingkan manusia dari deen ini dengan lembut atau dengan kekerasan.
Sikap manusia tetap sama dan halangan juga masih sama. Manusia pun begitu juga. Oleh itu risalah/mesej ini mesti disampaikan. Tugas dakwah mesti ditunaikan dengan disampaikan melalui penyampaian dan juga dengan dipraktikkan supaya penyampai itu menjadi penterjemah hidup terpampang terhadap mesej yang mereka sampaikan.
Tugas ini mesti dipikul dan tidak ada peluang lagi untuk lari darinya. Jika tidak, dosanya adalah terlalu berat. Beban dosa sesat seluruh manusia dan sensaranya mereka di dunia. Di akhirat pula, mereka menanggung beban dosa tidak tertegaknya hujah Allah keatas manusia. Mereka akan menanggung semua dosa ini dan tidak akan terselamat dari neraka.192
Ada ker orang yang rasa ringan bebanan ini semua? Itulah bebanan yang mematahkan tulang belakang, menggentarkan jiwa dan menggoncangkan seluruh sendi.” 193
Ia hanya kerja rijal…!
Inilah dia realiti. Islam tetap Islam seperti dulu juga. Sentiasa bersedia untuk menghilangkan penderitaan manusia. Tetapi yang lemahnya ialah usaha dakwah Islam dan menegakkannya. Oleh itulah, beberapa salafussoleh mengatakan: “Alangkah hebatnya agama ini sekiranya ada rijal…” 194
Rijal yang memenuhi ciri-ciri kesyumulan sama seperti syumulnya Islam.
Orang yang mengeluh ini adalah di zaman salaf iaitu ketika di depannya terdapat ramai fuqaha’ furu’dan begitu ramai ahli zuhud. Tetapi semua itu tidak memuaskan hatinya.
Apa yang diinginkan ialah ulama’ jenis lain. Memang faqih dan zahid adalah termasuk sifat yang dikehendaki tetapi ia mahu lebih dari itu. Dia ingin da’i yang siang malamnya hanya memikirkan bagaimana membimbing manusia, melaksanakan syariat Allah dan menentang sesiapa sahaja yang berhukum dengan al-hawa. Peringkat ini hanya mampu dicapai oleh orang yang dikurniakan dengan sifat-sifat lelaki sejati. Ianya tidak mungkin dicapai oleh manusia yang ingin kurang dari itu, yang boleh berkompromi dan bertolak ansur atau yang hanya rasa cukup dengan berselindung-selindung. Oleh kerana itu apabila dikatakan kepada seorang tokoh rijal: “Kami ada huwaijah (hajat kecil) untuk kamu tolong selesaikan,” dia enggan menyelesaikannya dan berkata: “Carilah lelaki yang kecil untuk menyelesaikannya.” 195
Lelaki yang kecil akan berpuas hati dengan kerja yang kecil dan remeh.
Bagi rijal yang berjiwa besar, himmahnya sangat tinggi. Dia menyediakan dirinya hanya untuk kerja-kerja yang besar dan enggan dengan kerja remeh.
Demi Allah, sungguh dakwah ini adalah hanya kerja rijal. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Kumpulan orang-orang yang takut risiko dan halangan, pertarungan dan pertembungan, maka ia akan dianggotai oleh orang yang berjiwa kecil.
Bagi rijal, yang ditakuti hanyalah kelalaian ”al-ghaflah”. Sebagaimana yang dikatakan oleh al-Umari yang zahid: “Sesungguhnya antara tanda kamu telah lalai terhadap diri kamu dan berpaling dari Allah ialah apabila kamu melihat sesuatu yang dimurkai Allah, kamu tidak mempedulikannya. Kamu tidak menyuruh dan tidak melarang lantaran takut kepada manusia sedangkan orang-orang ini langsung tidak boleh membahayakan ataupun memberi faedah kepada dirimu.” 196
Lantaran itulah Ibnu Taimiyah sering mengkritik orang soleh yang penakut. Berulang-ulang kali beliau menerangkan:
“Meskipun mereka telah berhijrah meninggalkan kejahatan, mereka bukanlah mujahidin tulen yang berjuang menghapuskan kejahatan sehingga tiada lagi fitnah dan rintangan yang menghalang manusia dari jalan Allah. Hingga jadilah agama seluruhnya untuk Allah.
Fikirkanlah! Tidak banyak manusia yang ada padanya kedua-dua sifat ini sekaligus.
Biasanya ada yang benci pada kekufuran dan kejahatan serta orang yang melakukannya. Tetapi dia tidak pula menegah mereka dan berjihad melawan.
Ada pula yang sukakan kebaikan dan orang-orang yang melakukan kebaikan tetapi tidak suka menganjurkannya dan berusaha dengan harta dan jiwanya untuk mengajak kepada kebaikan itu.
Padahal Allah S.W.T. telah berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
أُوْلَئِكَ هُمْ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang yakin kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan diri mereka di jalan (agama) Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujurat 49:15)Firman Allah S.W.T lagi:
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang mukmin): “Jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, adik beradik kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut merosot dan rumah-rumah yang kamu sayang, – (jika semuanya itu) lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Taubah 9: 24)Mungkin anda rasa anda perlu berbincang lebih panjang lagi dengan orang yang lalai ini. Tetapi sebenarnya Yusuf al-Qardhawi telah lebih dahulu berdebat, berhujah dan telah mengalahkan hujah mereka dengan kata-kata yang indah dan mendalam. Rasanya itu semua sudah cukup:
Kata mereka:
Kebahagiaan terletak pada sikap berdiam diri, pada malu dan kebekuan
Pada hidup bersama famili, dan bukannya hidup orang berhijrah dan terusir
Pada berjalan di belakang kenderaan, mewah dan dengan langkah yang longlai
Pada ikut sahaja apa yang orang katakan, tanpa tentangan dan konfrontasi
Pada ikut sahaja ke mana rombongan bergerak, kamu dipimpin, bukan memimpin
Pada hanya bersorak untuk setiap pemerintah: Hidup kamu…. Selama-lamanya.
Aku pula berkata:
Hidup ini adalah gerakan, bukan diam dan bukannya beku
Hidup adalah jihad, Akan berjuangkah orang yang hanya duduk berpeluk tubuh?
Hidup adalah menikmati lazatnya susah, bukan bersedap-sedap dengan tidur.
Ia adalah membela hak, merdekakah orang yang tidak membela haknya?
Hidup ialah adalah kamu merasa kehinaan itu laksana air nanah.
Hidup ialah kamu hidup sebagai khalifah di bumi, tugas kamu memimpin
Kami boleh berkata ‘NO’ dan ‘YES’, apabila kamu mahu
dengan pandangan yang tajam.”197
Nota Kaki
- Majalah Mujtama’ al-Kuwaitiyah, Bil. 115, m.s. 11 ↩
- Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 11, m.s. 50 ↩
- Sebahagian dari maksud ayat 157 al-A’raf – editor ↩
- Sila baca tentang masalah ini dengan panjang lebar di dalam buku “Syahadatul-Haq” – editor. ↩
- Fi Zilal al-Quran, Juzu’ 6, m.s. 31 ↩
- Ibnu al-Qayyim, Miftah Dar al-Sa’adah, Jilid 1, m.s. 302 ↩
- Ibnu al-Jauzi, Said al-Khatir, m.s. 105 ↩
- Ibnu al-Qayyim, Al-Jawab al-Kafi, m.s. 44 ↩
- Yusuf al-Qardhawi, antara qasidah-qasidah lama. Rangkap-rangkap ini adalah antara qasidah panjang yang dikarang untuk Majalah al-Tarbiyyah al-Islamiyyah di Baghdad, Keluaran Keenam, m.s. 278 ↩
0 comments:
Post a Comment