16. Pemilihan Memelihara dari Kecundang
SumberBAB 16: Pemilihan Memelihara Dari Kecundang
Pendekatan si-aqidi amat berbeza dengan pendekatan si-spontan. Si-aqidi mempunyai neracanya yang tertentu, menimbang, membanding, memeriksa dan merumus sebelum melangkah. Si-spontan pula penuh marah, melenting dan tergesa-gesa menyebabkan ia terperosok dalam masalah.
Sikap pada individu ini sebenarnya juga berlaku pada kumpulan dan jamaah. Tekanan ahli sesuatu jamaah mempengaruhi jamaah, menyebabkan ia bertindak tanpa fikir, memusnahkan kekuatan dan akhirnya membawa kepada kegagalan.
Ianya adalah tindakan membabi buta yang mendorong jamaah bergerak tanpa perancangan atau mungkin melakukan perencanaan tetapi tidak sesuai dengan realiti atau tanpa tujuan. Atau mungkin juga dengan tujuan tetapi tidak terfokus dan tidak terang ataupun juga menjadikan angan-angan, idealisma tinggi dan impian terlalu tinggi sebagai satu matlamat.
Sifat ini sangat menakutkan bagi harakah Islam. Sepatutnya dicari penyelesaian bagi memeliharanya dari kecundang tanpa disedari.
Menaikkan Individu Yang Thiqah Adalah Asas Penjagaan
Penyelesaian pertama terletak pada: mengingatkan pimpinan dan anggota-anggota harakah supaya sentiasa ‘tasyaddud’ semasa menyerahkan kerusi kedudukan taujih dalaman harakah. Perlu dipastikan ianya ia hanya dipegang oleh individu yang thiqah sahaja yang beriman, berilmu, dan beramal.
Hanya kenaikan orang yang thiqah ke tampuk taujih sahaja yang akan menjamin jelasnya matlamat yang jauh dapat ditanamkan dalam pemikiran orang-orang yang baru yang mukhlis, bersemangat tetapi belum lagi berpengalaman dalam dakwah. Ia juga dapat menjamin pemberian penafsiran dan justifikasi yang betul terhadap polisi marhali yang dilalui oleh dakwah. Semua itu akan menjadi saham bagi menjamin tidak berlakunya tindakan terburu-buru atau tindakan tanpa matlamat yang jelas.
Bila da’I melihat keadaan kritikal gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia dan bila mengimbau kembali sejarah lampaunya, akan nampaklah betapa besarnya pemeliharaan Allah dalam pemilihan pemimpinnya. Gerakan Islam tidak pernah dipimpin kecuali oleh mereka yang mantap ilmunya, benar dan ikhlas.
Walau bagaimanapun, kadang-kala terdapat sikap bermudah semasa memilih orang kanan mereka, hingga mereka terpaksa membayar harga yang mahal bila berlakunya perpecahan, fitnah serta tidak berpendirian tegas. Tapi ia juga seolahnya sebahagian dari kesempurnaan belas kasihan Allah juga, kerana dari kelalaian itu, barulah mereka mempelajari betapa perlunya strict ‘tasyaddud’. Dari pengalaman sukarnya bekerja dengan orang yang ‘dhu’afa’’ (lemah), mereka dapat mempelajari betapa pentingnya ‘al-intiqa’. Tiada ilmu yang lebih berharga dari pengalaman.
Pengalaman telah merubahku menjadi manusia baru
Pengalaman akan meluaskan perubahan seseorang241
Kadangkala pula berlaku bukannya sikap bermudah ‘tasahul’ tetapi berlaku sikap bergantung kepada orang yang ‘betul bendul’-‘simpleton’’gullible.’ Mereka ini tidak mengikut cara terkini dan lemah kesedaran politik. Ia menjadikan dakwah seolah-olah terpaksa menangisi banyaknya kesilapan mereka dan ia seolah-olah menyeru : “Telah sekian lama aku menderita, tolonglah cari orang yang cerdik sikit untuk aku.” 242
Memang itulah penderitaan panjang yang dialami dan dirasai oleh mereka yang bergelumang dalam amal haraki harian. Masyarakat sekarang yang kompleks, banyak dan aktifnya parti-parti politik dan perancangan rapi yang dilakukan oleh Yahudi dan Freemason di seluruh pelusuk dunia, semua itu memerlukan satu bentuk para da’i yang bukan sahaja beriman, ikhlas serta mengetahui syariat Islam, tetapi perlu pula mereka ini mempunyai kesedaran politik, berpengalaman dalam teknik organisasi, cekap dalam perancangan yang seimbang dan sesuai dengan realiti semasa dan selaras dengan kekuatan yang ada pada kita.
Golongan ini sahajalah yang boleh diharapkan berkemampuan untuk menyapu airmata tangisan dakwah masakini.
Tiada Pemisahan Antara Pengurusan Dan tarbiyyah
Adalah salah sesiapa yang menganggap bahawa sesiapa yang berada di kedudukan dakwah yang tidak secara direct memberi bimbingan tarbiyyah ‘taujih tarbawi’ maka mereka ini tidak perlu kepada syarat ‘qudwah’.
Ada yang membezakan antara da’I murabbi dengan da’I bukan murabbi iaitu mereka yang melaksanakan tugas-tugas dakwah bentuk lain yang diperlukan oleh kesyumulan dakwah. Analisa fenomena tarbiyyah menolak hakikat ini. Mereka semuanya adalah satu part yang dilihat orang di dalam dakwah dan nanti akan menjadi ikutan ‘freshie’. Mereka semua menjadi jurubicara secara tidak langsung kepada dakwah dan ‘freshie’ akan terpengaruh.
Kerana itu, para solafussoleh tidak pernah kenal bentuk pemisahan tugas pentadbiran negara Islam dengan tugas mengajar dan tarbiyyah. Bagi mereka pentadbiran negara juga merupakan orang tarbiyyah.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata di dalam menjelaskan maksud firman Allah:
وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ
bermaksud : “Jadilah kamu manusia rabbani”:(Al-Al’imran 3:79)“Mujahid berkata: “Mereka adalah orang yang mendidik manusia dengan ilmu yang kecil sebelum ilmu yang besar. Mereka itulah yang melakukan amar makruf nahi mungkar.”
Kata Ibnu Taimiyyah; pengertian rabbani itu adalah dipetik dari solafussoleh.
Dipetik dari Ali bin Abi Talib r.a., beliau berkata: “Mereka ialah yang mengasuh manusia dengan hikmah dan mendidik mereka dengannya.”
Dari Ibnu Abbas, beliau berkata: “Mereka itulah fuqaha’ yang mengajar.”
Bagi ku: “Orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar itulah sebenarnya fuqaha’ yang mengajar.” Qatadah dan Atha’ berkata: “Mereka ialah fuqaha’ yang ulama’ dan hukama’.”
Ibnu Qutaybah berkata: “Singularnya perkataan ini ialah rabbani. Mereka ialah ulamak yang mengajar.”
Kemudian Ibnu Taymiyyah menutup perbicaraan dengan berkata: “Rabbaniyyiin ialah mereka yang ada kaitan dengan tarbiyyah.” 243
Oleh itu, semua orang yang terlibat dalam kerja dakwah adalah qudwah yang mungkin ada pengaruhnya. Mereka mesti memenuhi syarat-syarat qudwah amali tersebut.
Sensitif Markaz Qudwah
‘Markaz qudwah’ sangat sensitif dan seni. Sepatutnya tidak diletakkan di posisi tersebut kecuali individu yang telah bersedia berpegang kepada ‘azimah dan sanggup meninggalkan rukhsah. Ia hanya boleh diisi oleh orang yang lebih kepada serius bekerja, zuhud dan ‘tajarrud’, sanggup bersusah payah dan berkorban. Ini kerana, ia akan menjadi ‘imam’ kepada orang dikekelilingnya, yang meniru dan meneladaninya. Perbuatannya hendaklah lebih ‘power’ lagi dari kata-kata mulutnya dalam menceritakan pegangan dan nilai dakwah yang ingin disampaikan. Kerana apa yang dilihat lebih kuat pengaruh berbanding apa yang disebut.
Kerana itulah apabila al-Laith bin Said, ‘imam’ di Mesir hendak melakukan kerja yang ‘mafdhul’ yang tidak sesuai dengan ‘azimah’, Yahya bin Sa’id al-Ansori, Imam Madinah berkata kepada beliau: “Jangan buat… Kerana sesungguhnya engkau adalah ‘imam’ yang diperhati dan diteladani.” 244
Dikatakan bahawa: sesiapa yang tidak memberi apa-apa pengajaran pada kamu bila engkau melihatnya, ketahuilah bahawa dia sendiri tidak terdidik.
Siapa yang kamu tidak dapat hidu keharumannya dari jauh, ketahuilah bahawa dia tidak ada wangian dan tidak perlulah kamu bersusah payah cuba menghidu-hidunya…!
Da’i sebenar akan sentiasa bertambah kehebatan imannya. Akan terus meningkat ketakwaannya kepada Allah. Ia terus meningkat selama mana takwanya kepada Allah S.W.T. dan tumpuan hatinya kepada dakwah meningkat sehingga ia dapat membunuh kelalaian orang yang memandangnya.
Imam aI-Syafi’ie telah berkata:
“Sesiapa yang menasihati saudaranya melalui perbuatannya, dia adalah pemberi petunjuk.”
Abdul Wahid bin Ziyad berkata: “Hassan Basri tidak sampai kepada darjat yang tinggi seperti sekarang kalaulah tidak kerana apabila dia menyuruh manusia dengan sesuatu perkara, maka dialah yang lebih dulu melakukannya dan apabila dia melarang mereka dari sesuatu perkara, dialah yang paling jauh dari perkara itu.”
Sesetengah ulama’ berkata: “Bagi seorang pelajar, setiap kali dia berjumpa dengan orang sodiq dia akan bertambah sesuatu. Kadangkala apa yang dilihat pada seseorang rijal itu akan memberi faedah kepadanya, sama dengan apa yang didengari dari rijal tersebut.” Dikatakan juga bahawa: “Siapa yang tidak memberi manfaat kepadamu apabila kamu memerhatikannya, bermakna kamu tidak akan dapat manfaat dan ucapannya.”
Maksud yang indah ini dijelaskan dengan: “Sesungguhnya lelaki yang sodiq itu lebih banyak berbicara kepada orang-orang sodiq dengan perbuatannya berbanding dengan menggunakan lidah. Apabila ada orang memerhatikan tingkah lakunya yang diambilnya dan dikeluarkannya, semasa dia keseorangan mahupun didepan ramai, semasa dia berkata-kata mahupun semasa dia diam, manusia mendapat faedah dengan memerhatikannya. Itulah faedah dari pemerhatian. Siapa yang tidak berkeadaan demikian, kata-katanya tidak berfaedah kerana dia berbicara dengan hawa nafsunya. Sinaran kata-kata terpancar daripada sinaran hati, dan sinaran hati menurut kadar istiqamah dan penyempurnaan kewajipan hak-hak sebagai hamba dan hakikat ubudiah.”
Alangkah indahnya kata-kata ini. Begitu juga seorang tabi’in, Shahru bin Hausyab berkata: “Apabila seorang lelaki berbicara kepada satu kaum, maka sesungguhnya bicaranya itu berkesan di hati kaum itu mengikut kedudukan kata itu dalam hatinya.”
Malik bin Dinar telah berkata: “Sesungguhnya seorang alim itu apabila tidak beramal dengan ilmunya, nasihatnya akan tergelincir-gelincir dari hati pendengarnya sebagaimana tergelincirnya titisan embun dari batu yang licin.”
Telah diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s. tatkala baginda disoal: “Siapakah yang paling fitnah di kalangan manusia?” Nabi Isa A.S. berkata: “Tergelincirnya orang alim. Apabila orang alim tergelincir, tergelincirlah ramai orang lain disebabkannya.” 245
Kerana semua itulah maka termasuk dalam fiqh dakwah ialah kita perlu teliti ketika memilih orang yang akan menjadi qudwah. Kita tidak boleh bermudah-mudah dalam hal ini. Janganlah kita menipu diri sendiri dan menjustifikasikan bermudah ini dengan tidak menamakan mereka sebagai qudwah dan posisinya bukan posisi tarbiyyah.
Sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan da’i maka dia adalah qudwah bagi mereka kerana dia boleh dilihat, kata-katanya didengari dan memang ada pengaruh dari kata-katanya itu. Jika ditambah pula dengan isyarat dari da’I lain bahawa ‘dia adalah murabbi’, maka tidak syak lagi ini akan menambah kesannya. Ramai orang akan terbuka hati untuk menerima kata-kata dan nasihatnya. Jika ia disokong oleh perbuatannya, maka ini adalah sebaik-baik nasihat. Jika sekiranya sebalik (tidak diterjemahkan ke dalam kehidupan hariannya) maka bicaranya hanya akan menjadi kosong, sia-sia dan akan melarikan manusia daripadanya.
“Sesuatu nasihat jika tidak disampaikan dalam bentuk yang hidup, ia akan menjadi seperti suatu yang batil. Ia tidak dapat merubah jiwa kecuali jiwa yang memang ada kekuatan untuk berubah seperti jiwa para nabi dan orang-orang yang mengikut jalan kerohanian. Sesungguhnya perkara ini adalah masalah meletakkan cahaya pada kata-kata, bukan dibuat dengan analogi dan hujah. Lelaki zuhud yang sebenar adalah sebuah kehidupan yang dipakaikan dengan hakikat agar ianya menjadi sesuatu dalam kehidupan dan amalan, bukan sesuatu dalam bicara dan sangkaan. Ilham orang yang zuhud adalah panas seperti panasnya api. Sesiapa yang mendekatinya pasti akan merasainya.
Demi Allah, berapa ramai ahli fiqh yang berkata kepada manusia: “Ini haram”, tetapi semakin banyak perkara haram dibuat oleh manusia. Ini kerana mereka berbicara seperti kitab-kitab berbicara, tidak menyambungkan hubungan jiwa dengan syariat. Ia kosong dari kekuatan yang menjadikan dirinya seumpama roh yang akan berpaut padanya segala roh. Kekuatan yang meletakkan dia di hadapan manusia pada satu kedudukan seolah-olah dia baru datang dari syurga dan akan kembali ke syurga tidak lama lagi.
Seorang faqih yang terikat dengan harta dan keinginan nafsu dan hanya memikirkan cara untuk menambahkan punca rezeki, harta, nafsu diri dan habuan dunia, maka itulah ulama’ yang rosak dan merosakkan imej baik ulama’ dalam fikiran orang ramai. Perkara pertama yang ia fahamkan kepada manusia ialah jangan memahami daripadanya sesuatu.” 246
Secara ringkasnya: “Uswah atau tauladan itulah satu-satunya ilmu kehidupan.” 247 Dakwah kita adalah kehidupan. Contoh itulah satu-satunya ilmu dakwah dan seluruh ilmu dakwah adalah qudwah atau uswah yang benar dan baik.
Ujilah Orang Yang Petah Lidahnya
Sekiranya kita menyelideki sejauh manakah ilmu penting ini diimplimentasikan, kita akan dapati kecacatan-kecacatan ketara yang berlaku dalam harakah Islam zaman ini adalah kerana tertipu oleh kepetahan ahli ceramah, pemegang sijil-sijil akademik atau kemasyhuran seseorang. Mereka dikedepankan sebelum mereka diuji. Akibatnya, dakwah serba salah kerana nama dakwah dilibatkan dengan mereka. Logam yang tidak bermutu akan terserlah bila berdepan dengan ancaman atau pujukan atau ketika polisi haraki memerlukan fiqh dakwah untuk difahaminya. Akhirnya mereka sendiri berpaling tadah.
Iman, fiqh dakwah, banyak terlibat dalam amal tajmi’I dan tarbawi dan jelas ketaatan adalah merupakan pengukur dalam pemilihan ahli dan pemilihan ketua. Sistem dan syarat pemilihan dalam jawatan kerajaan atau kebiasaan persatuan lain bukanlah merupakan cara kita.
Bahkan da’I hendaklah waspada, takut dan berjaga-jaga terhadap mereka yang petah lidahnya, banyak bercakap dan mengada-ngada kerana biasanya munafik dan orang yang lemah ramai dari golongan seperti ini. Da’i hendaklah jangan cepat percaya mereka yang bersifat begini kecuali setelah mengetahui hakikatnya dengan menguji, memerhatinya dengan teliti dalam satu tempoh yang lama. ‘Tauthiq’ hendaklah dibuat setelah teruji dan melihat tanda-tanda iman dan kejujuran.
Da’i ada contoh dari para salaf dalam hal ini. Bila amirul Mukminin Umar al-Khattab merasai bimbang terhadap al-Ahnaf bin Qais kerana al-Ahnaf merupakan seorang yang pandai bercakap, mahir dan pintar. Lalu, Umar r.a menahannya setahun di Madinah untuk diperhati dan diuji. Setelah itu barulah beliau berkata: “Wahai Ahnaf, sesungguhnya aku telah memerhati dan menguji engkau. Tidak ada yang kulihat kecuali kebaikan. Aku telah melihat zahirmu yang baik dan aku berharap supaya hatimu sama dengan zahirmu. Kami pernah mengatakan: “Umat ini akan binasa dengan adanya orang munafik yang cerdik.”
Umar telah menulis surat kepada Abu Musa al-Asy’ari: “Dekatilah Ahnaf, bersyuralah dan dengarlah pendapatnya.” 248
Betapanya ramai orang di keliling dakwah yang wajib diuji oleh pimpinan dakwah. Da’i sangat memerlukan ilmu seperti Umar al-Khattab ini. Betapa ramainya orang yang bercakap Islam dan anda lihat promosi tentangnya telah mengangkatnya begitu tinggi. Apabila anda bergaul dengannya, anda dapati tiba-tiba dia adalah seorang opoturnis, kering hati dan roh.
Memang benarlah kata-kata Abdul Wahab Azzam:
Sesungguhnya ada orang yang wajahnya berseri-seri, memenuhi mata dengan bunga dan kesegaran
Orang yang celik memandangnya sebagai bunga buatan, hidupnya tidak memberikan keharuman dan kesegaran.249
Oleh kerana itulah, salafussoleh terus menerus menasihatkan betapa perlunya dilakukan ujian-ujian ini, sepertimana yang dikatakan oleh pemimpin tabi’in Hassan al-Basri r.a:
“Nilailah manusia dari amalan mereka, bukan kata-kata mereka. Allah tidak membiarkan satu perkataan pun melainkan dijadikan perbuatannya sebagai bukti samada ia benar ataupun dusta.
Sekiranya kamu mendengar kata-kata yang baik maka perhatilah dahulu pengucapnya. Sekiranya kata-katanya selaras dengan perbuatannya maka itulah sebaik-baiknya. Bersaudaralah dengannya dan cintailah dia. Sekiranya kata-katanya bertentangan dengan perbuatannya, maka apa lagi yang samar? Apa lagi yang disembunyikannya daripadamu?. Berwaspadalah dengannya. Janganlah kamu terpedaya dengannya.” 250
Demikianlah wasiat lama dari salafussoleh. Tetapi, manusia sering terlalai. Keinginan untuk cepat sampai dan keinginan untuk meramaikan ahli telah melalaikan da’i hinggakan lupa ilmu yang dipusakai oleh salafussoleh.
Bid’ah pun kelemahan juga….
Kelemahan orang yang lemah juga kadangkala berpunca dari satu bid’ah sebagaimana ia boleh juga berpunca dari dosa. Perkara ini telah maklum oleh para ulama’ sejak dahulu lagi. Ada antara mereka yang menjauhi adik beradik kandung sendiri bila saudaranya itu berpegang kepada bid’ah. Contohnya Ali bin Harb bin Muhammad al-Musili yang meninggalkan saudaranya; Ahmad kerana berpendapat bahawa ucapan ‘lafaz yang keluar dari mulutnya ketika membaca al-Quran’ adalah makhluk. Walaupun Ahmad adalah seorang yang thiqah dan sodiq dan kata-katanya ini tidaklah salah dan ia juga merupakan pendapat yang masyhur dari Imam aI-Bukhari, tetapi dia membantah tindakan saudaranya kerana umat masih dekat dengan zaman bid’ah bahawa al-Quran adalah makhluk. Beliau tidak mahu seorang pun mengulang-ngulang kata-kata yang menyerupai pendapat Muktazilah kerana ia akan menambahkan kebingungan di kalangan orang ramai.251
Tetapi, ada golongan yang kononnya mahu menyatukan umat ketika ini yang mengajak supaya memandang ringan masalah bid’ah. Sesetengah da’I terpedaya dengan kekeliruan ini dan menolak faktor bid’ah sebagai salah satu ciri pemilihan. Mereka telah melakukan kesilapan !
Memang adalah suatu sikap yang baik kita berlembut terhadap ahli bid’ah, menolong mereka menentang kafir, melepaskan mereka dari kezaliman dan membantu mereka menentang orang yang lebih teruk bid’ah daripadanya. Tetapi adalah merbahaya sekiranya anda membuka pintu saf dakwah untuk mereka sebelum mereka bertaubat. Merbahaya jika dilantiknya menjadi pimpinan sebelum dia bersih dari bid’ah. Suatu yang tidak betul anda mengasihinya sebelum dia bersih dari noda akidahnya. Tidak adalah perkara dalam ummah ini yang paling teruk dari bid’ah. Sebagaimana yang dikatakan oleh al-Fudhail bin Iyadh:
“Barangsiapa menolong ahli bid’ah, maka sesungguhnya dia menolong untuk meruntuhkan Islam.”
“Barangsiapa mengasihi ahli bid’ah, Allah memadamkan amalnya dan mengeluarkan nur Islam dari hatinya.”
Dakwah untuk menghalang ahli dosa dan maksiat tingkahlaku -jika sekiranya masih ada iman dalam hatinya- adalah jauh lebih mudah dari bekerjasama dengan ahli bid’ah yang kuat berpegang dengan bid’ah mereka. Ahli maksiat adalah lebih ringan lagi bahayanya dari ahli bid’ah dari beberapa aspek, di antaranya:
- Orang yang berdosa itu membahayakan dirinya sahaja, tetapi ahli bid’ah membahayakan orang lain,
- Fitnah ahli bid’ah terletak pada pokok agama manakala finah orang yang berdosa terletak pada syahwat,
- Ahli bid’ah menghalang manusia dari melalui jalan Allah yang lurus, manakala orang yang berdosa tidak,
- Ahli bid’ah menodai sifat-sifat Allah dan kesempurnaanNya, tetapi orang yang berdosa tidak,
- Ahli bid’ah menentang apa yang dibawa Rasuluflah S.A.W., tetapi orang yang berdosa tidak
- Ahli bid’ah menghalang manusia dari jalan akhirat dan orang yang berbuat maksiat hanya lambat perjalanannya menuju Allah.252
Sikap berwaspadanya amal jama’ie Islam dari terlibatnya ahli bid’ah telah menjadi satu kaedah yang mantap hari demi hari. Ianya adalah kaedah lampau yang diamalkan oleh al-Fudhail bin Iyadh. Beliau telah merumuskannya di dalam beberapa rangkai kata yang indah. Beliau berkata:
“Makan bersama dengan Yahudi dan Nasrani lebih aku sukai dari makan bersama dengan ahli bid’ah. Kerana sekiranya aku makan bersama dengan Yahudi dan Nasrani, orang ramai tidak akan meneladaniku, tetapi apabila aku makan bersama dengan ahli bid’ah, mereka akan meneladani aku. Aku rasa best kalau sekiranya ada benteng besi antara aku dengan ahli bid’ah. Ahli bid’ah itu jangan kamu percayai hal-hal agamamu padanya dan jangan minta pendapatnya apa-apa.”
Kata-kata al-Fudhail yang lampau itu adalah penjelasan mantap terhadap apa yang kita maksudkan. Ia adalah penjelasan prinsip ‘tasyaddud’ – ‘strict’ mengetatkan dalam pemilihan. Ia diucapkan oleh Fudhail dalam contoh makan bersama, untuk lebih mudah difahami.
Peliharalah Nama Baik Islam
Jelaslah sekarang… tasyaddud dalam pemilihan adalah penyelesaian utama bagi menjamin dakwah dari tindakan-tindakan membabi buta. Seluruh bahagian harakah Islam terpanggil supaya segera memperbaiki hal ini.
Sebenarnya beralih kepada tasyaddud ini adalah langkah wajib dilakukan demi menjaga imej Islam hari ini, sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri kerajaan Abbasiyyah, Ibnu Hubairah al-Dauri al-Samira’ie kepada sesetengah da’I pada masa itu:
“Berusahalah menghalang dari terserlahnya ahli maksiat. Kerana tersebarnya cerita maksiat mereka adalah suatu yang mengaibkan nama umat Islam. Perkara yang paling penting ialah, segala kecacatan wajib ditutup.”253
Antara perkara penting yang perlu dijaga menurut saranan Ibnu Hubairah ialah menghalang musuh Islam dari berpeluang menampakkan orang-orang yang lemah. Mereka kemudiannya berusaha memalukan dakwah bila mereka telah memegang teraju kepimpinan. Selagi orang yang bertakwa dan bersih naik memimpin dan bukan orang-orang lemah, oportunis dan ahli bid’ah, selagi itu jugalah kita dapat memelihara nama baik Islam.
Da’i sepatutnya bersikap lebih tasyaddud dari itu lagi. Sepatutnya orang thiqah menutup peluang dan kesempatan yang diambil oleh orang lemah yang cuba duduk bersama-sama dengannya supaya pada pandangan umum, apabila seorang yang thiqah itu duduk bersama-sama dengan seseorang, bermakna dia juga seorang da’i yang thiqah. Sekiranya dia tidak thiqah tentulah individu yang thiqah itu tidak duduk bersamanya.
Ia sama seperti yang telah diriwayatkan oleh al-Tarmizi dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya:
“Orang Yahudi berpura-pura bersin di sebelah Rasulullah S.A.W dengan harapan agar Rasulullah SA.W. menjawab dengan (Yarhammukallah) yang bermaksud semoga Allah memberi rahmat kepada kamu, sebaliknya baginda bersabda: “Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperbaiki hatimu.” 254
Sekiranya baginda berkata: (YarhammukaLlah..) Semoga Allah merahmatimu, tentu Yahudi akan mengatakan kepada orang Islam: “Sekiranya kami sesat, Baginda tidak akan mendoakan rahmat untuk kami.”
Dan lagi, tanzim kita bukanlah doktor yang merawat pesakit. Tanzim kita adalah usaha merebut peluang sebelum penguasaan taghut yang berterusan menukar kelemahan umat kepada kehinaan yang kekal selamanya. Oleh itu, dakwah ini wajib memilih dan mencari orang yang bijak dan berani. Dakwah mesti menghalang para pengecut, lemah peribadi dan yang bebal dari menyertainya. Ia bertujuan untuk menjimatkan usaha tarbiyyah bagi mencapai matlamat secepat mungkin. Tetapi ia akan bekerjasama dengan orang yang berada di luar tanzim dalam kerja-kerja yang tidak memerlukan iltizam yang mendalam.
Halangan ini bukan bererti kita memusuhi mereka sebagaimana yang disangkakan oleh sesetengah orang. Ini juga bukanlah merendahkan hak mereka atau dan bukan pula menghalang kebaikan. Tetapi ia merupakan langkah penjagaan dalam kerja dakwah berdasarkan maslahah dan dikukuhkan lagi oleh pengalaman. Mereka yang lemah itu ada hak sebagai orang Islam. Kita tidak kedekut untuk menyayangi dan memberi nasihat kepada mereka. Namun, kerja dakwah adalah sukar dan hanya mampu dipikul oleh si kuat dan bijak. Halangan kita adalah penjagaan dan pemilihan kita adalah kerana sebab, sebagaimana kata seorang penyair:
Aku melarang, dan sebahagian dari larangan itu adalah ketangkasan
Buatan penjagaan, itulah yang kulakukan selagi aku memberi nasihat kepadanya.
Sebahagian larangan dan tutup pintu terhadap orang yang lemah merupakan ketegasan dan kekuatan yang digerakkan oleh ketakwaan tanpa melampau-lampau pula menuduh seseorang, buruk sangka atau kejengkelan semasa berinteraksi dengan orang ramai.
Andalah Yusuf Yang mena’birkan Mimpi Ini
Tajammu’ yang tidak memilih dan menapis anggotanya mungkin bukan sahaja tumbang akibat ribut, bahkan ia akan rebah dengan tiupan angin lembut yang bertiup secara mengejut.
Perumpamaan ini ada penafsirannya; sebagaimana yang telah dikatakan oleh Imam Hassan al-Banna Rahimahullah: “Kalianlah Yusuf bagi mimpi ini. Sekiranya kalian suka apa yang ada pada kami maka hulurkanlah tanganmu bersama kami untuk sama-sama bekerja dijalan ini. Allah akan memberi petunjuk kepada kita.” 255
Kamu semua yang bersemangat ini adalah seperti Yusuf bagi impian ini.
Tanpa kamu, fiqh-fiqh dakwah ini hanya ibarat satu mimpi. Kamu… padamulah kemampuan untuk menta’bir mimpi ini secara praktikal dan menjadikannya suatu kenyataan.
Tinggalkanlah perkara negatif dan bangunlah segera
Tanggalkan pakaian duka cita dan putus asa
Lantas, pakailah pakaian jihad dengan aktif, tanpa malas
Perhalusi kematian sebagai suatu seni sehingga anda tahu bagaimana menghirupnya
apabila tiada jalan lain, tanpa ketakutan.256
Nota Kaki
- Al-Bukhturi, Diwan Al-Bukhturi, Jilid 1, m.s. 226 ↩
- Imam al-Asbahani, Kharidah al-Qasri, edisi Iraq, Jilid 1, m.s. 258 ↩
- Ibnu Taimiyah, Majmuk Fatawa, Jilid 1, m.s. 63 ↩
- Tahzib al-Tahzib, Jilid 8, m.s. 463 ↩
- Ibnu al-Mubarak, Kitab al-Zuhd, m.s. 520 ↩
- Wahyu al-Qalam, Jilid 2, m.s. 201 ↩
- Ibid, m.s. 111 ↩
- Tabaqat Ibnu Saad, Jilid 7, m.s. 94 ↩
- Diwan al-Mathani, m.s. 81 ↩
- Ibnu al-Mubarak, Al-Zuhd, m.s. 26, Al-Syatibi, Al-Muwafaqat, Jilid 1, m.s. 30 ↩
- Tahzib al-Tahzib, Jilid 1, m.s. 23 ↩
- Ibnu al-Qayyim, Al-Jawab al-Kafi, m.s. 127 ↩
- Zail Tabaqat al-Hanabilah, Jilid 1, m.s. 274 ↩
- Sunan al-Tirmizi, Jilid 1, m.s. 274 ↩
- Risalah Dakwatuna, al-Majmu’ah, m.s. 122 ↩
- Yusuf al-Qardhawi, Majalah al-Tarbiyah al-Islamiyah, Bilangan 5, m.s. 218 ↩
0 comments:
Post a Comment