Sunday, 21 December 2014

Matlamat hidup Fardu Muslim



Kepentingan Matlamat Hidup 


Matlamat yang besar tidak semestinya akan kita dapat capai. Namun mengejar matlamat yang besar, akan membuatkan kita sentiasa lebih baik dari sebelumnya. Sebab itu ada yang berkata, menjadi mukmin yang sempurna itu mustahil, benar, tetapi bila kita bergerak ke arah menjadi mukmin yang sempurna, bukankah kita bergerak ke arah yang lebih baik?

Kehadiran matlamat yang besar akan membuatkan kehidupan kita sentiasa terisi dan bermakna. Saya berikan contoh.

Anda ingin membina sebuah hospital tarbawi. Hospital yang mana bila orang pergi ke sana untuk merawat luka, bukan sahaja luka zahirnya sahaja terawat, namun luka di jiwanya juga terubat. Yang mana bila orang Islam masuk ke dalam hospital itu, automatik dirinya bermuhasabah akan keIslamannya, tanggungjawabnya sebagai Muslim, mengingatkannya kembali kepada Allah SWT, 
seterusnya dia keluar dalam keadaan  lebih baik dari sebelum dia masuk ke hospital itu, zahirnya dan batinnya. Hospital yang bila non-muslim masuk, mereka akan tertarik dengan Islam, kalau tidak pun mereka memeluk Islam, mereka akan keluar dari hospital itu sebagai manusia yang positif dengan Islam. 

 Katalah anda mempunyai matlamat sedemikian, hendak membina hospital sedemikian rupa.
Maka apakah anda, akan menjadi mahasiswa yang malas? Apakah anda akan membazirkan kehidupan anda dengan maraton berpuluh movie, atau berpuluh episod drama? Apakah anda akan tenggelam dalam kesibukan bermain game? Apakah anda sudi untuk membazirkan masa berjam-jam melepak dengan kawan, bersembang benda yang kosong?

Atau dek kerana mempunyai cita-cita yang besar tadi, maka anda akan fokus, mengatur perancangan, memilih aktiviti yang bermanfaat, sentiasa melakukan muhasabah diri dan progress, berusaha keras menambah ilmu, mempunyai jadual dan disiplin, agar tiada masa yang terbazir sia-sia, menjauhi perkara yang boleh merosakkan peribadi, membina sikap yang mampu untuk menguruskan cita-cita yang besar tadi, dan macam-macam lagi perkara positif?

Ya, anda lihat kan? Pastinya anda akan sibuk untuk memperkasakan diri, tidak membazirkan masa, jika benar anda serius untuk menggapai matlamat anda.
Bagaimana jika tiada matlamat?

Pastinya hidup kita kosong, dan kita buat apa sahaja sesuka hati kita, seterusnya membawa kepada pembaziran masa, dan tidak efisyen, berakhir dengan tiadanya peningkatan kemudian kita tidak ke mana-mana.


Tuhan Mendidik Kita Bermatlamat

Menariknya di dalam Islam, ummat Islam dididik untuk hidup dengan bermatlamat. Allah SWT meletakkan beberapa matlamat untuk ummat Islam.

1. Kehidupan adalah pengabdian kepadaNya. 

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku).” Surah Adz-Dzariyyat (51: 56)

2. Manusia dicipta untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. 
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin ciptakan untuk bumi ini khalifah(pentadbir).” Surah Al-Baqarah (2:30)

3. Akhirat.

Di dalam Al-Quran dan hadith, kita mempunyai banyak dalil, nas, yang membentangkan berkenaan akhirat. Yakni hari di mana manusia dihisab, dan kemudian dihantar ke syurga atau dilempar ke neraka. Di dalam rukun Iman, salah satunya ialah Beriman Kepada  Akhirat.

Dan Allah SWT tidak mendidik kita untuk mengejar akhirat sahaja, tidak juga untuk mengejar dunia sahaja. Allah SWT meletakkan matlamat untuk ummat Islam dalam kedua-duanya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah:

“Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya. Surah Al-Baqarah ayat (2:200-202)

Perhatikan. 
Ummat Islam sepatutnya hidup bermatlamat. Allah SWT meletakkan matlamat untuk kita membina diri kita dengan memandang bahawa seluruh kehidupan kita adalah sebuah pengabdian kepadaNya. Allah SWT meletakkan juga matlamat untuk kita membina dunia ini, tidak meninggalkannya rosak, memberikan kepada dunia ini kebaikan, yakni mentadbirnya dengan baik. Allah SWT juga meletakkan wawasan tertinggi lagi terakhir untuk manusia berjaya di akhirat,  yakni selepas kematian. Ini bermakna, Ummat Islam ini hidupnya tidak lekang dengan matlamat dan wawasan. Sepatutnya ummat Islam, sepanjang hidupnya mempunyai agenda, dan kerja untuk menyempurnakan matlamat-matlamat tersebut. Maka adalah sepatutnya ummat Islam tidak membazirkan masanya dengan perkara yang sia-sia, dan sepatutnya dia sudah jelas apakah matlamatnya dalam kehidupan ini.

Jika kita memahami perkara ini, meletakkan matlamat di dalam kehidupan, dan berusaha keras mengejarnya, kita akan menjadi manusia yang terbaik. Contoh yang bagus. Dan kehidupan kita sendiri tidak kosong.

Penutup: Mengeluarkan Diri Dari Kitaran Kosong

Keluarkan diri dari kitaran kosong. Sekadar hidup dengan sistem yang telah dipatrikan ke minda kita oleh pihak-pihak tertentu, yang suka untuk kita menjadi robot bagi tidak memecahkan cengkaman mereka ke atas dunia ini. Mereka hanya mahu kita belajar menurut kehendak mereka, kemudian kerja menjadi pekerja mereka, makan gaji dan membesarkan gaji, berkahwin dan mempunyai rumah, kereta, kemudian anak-anak, seterusnya anak-anak pula mengikuti kitaran yang sama, pada masa yang sama kita semakin tua dan tua, dan mati. Tiada signifikan untuk muka bumi ini. Jangan.
Letakkan matlamat. Tanya pada diri. Apa aku nak capai  dalam hidup ini? Apa aku nak buat dalam kehidupan ini?

Apa yang aku nak bawa pulang untuk bertemu dengan Allah SWT nanti?

Tanya, muhasabah, kemudian rancang kehidupan kita.
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan peluang bersembang dengan pelajar-pelajar tersebut. Semoga ianya sembang yang bermanfaat dan memberikan kebaikan kepada mereka, dan moga ianya menjadi muhasabah penting bagi diri saya yang menginjak tua ini.

Mari Menjadi Hamba! 

Sumber : langitilahi.com

0 comments:

Post a Comment

Pustaka Hati. Powered by Blogger.