Muqaddimah
SumberDUDUKLAH BERSAMA KAMI … KITA BERIMAN SEJENAK…1
Para da’i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan iman, niat, himmah, kesedaran dan perasaannya terhadap tanggungjawab. Dari sini, dia akan sentiasa berada dalam beramal salih atau azam kebaikan.
Dari arah lain pula ialah tarikan syaitan yang menghiaskan futurnya dan menjadikannya cinta kepada dunia. Menyebabkan dia dalam lalai, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah untuk belajar apa yang dia jahili.
Ulang-alik antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu ketetapan Allah dan ia akan terus berlaku. Kerana itulah, orang-orang mukmin telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri jilsah-jilsah tafakkur, merenung diri dan tanasuh saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa jiwa takut-takut dihinggapi takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati takut-takut terseleweng. Memeriksa ilmu dan iman takut-takut bercampur baur dengan berlebih-lebih dengan bid’ah atau kekurangan yang membawa kepada meninggalkan suruhan Allah dan nasihat kebenaran.
Perasaan ini telah diterjemahkan oleh Mu’az bin Jabal r.a2 dengan satu ungkapan yang telah menjadi satu artikel/klaus/seksyen dalam perlembagaan generasi mukmin. Ketika mengingatkan sahabatnya, beliau telah berkata:
إجلس بنا نؤمن ساعة
(Duduklah bersama kami, kita beriman sejenak).Ungkapan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah r.a3, lalu dia berkata kepada Abu ad Dardaa’ r.a4 sambil memegang tangannya:
تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا
(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).Dari mereka berdua pula kita ambil ungkapan ini, lalu lahirlah nasihat-nasihat ini yang berkaitan tentang fiqh adda’wah. Kita mengajak para da’i Islam untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat ini, beriman dan memuhasabah diri, ilmu dan himmahnya.
Saki baki…. Dan Harapan
Begitulah… Siri-siri buku ini ditulis khusus untuk para du’at Islam; mereka yang bersolat dan merasa izzah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak mukminin. Ia bukan untuk orang yang lalai, apalagi yang menyeleweng dari Islam.
Ini adalah kerana untuk menyelesaikan masalah dunia Islam hari ini, sebenarnya tidak perlu kepada berpindahnya lebih ramai orang yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang lebih diperlukan dari itu ialah menyedarkan dengan cepat mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan himmah mereka dan memperkenalkan kepada mereka toriq amal dan fiqh da’wah. Sebenarnya masih terdapat ramai saki baki mukmin yang bilangan mereka cukup untuk menegakkan kebaikan yang kita ingin capai dan cita-citakan, tetapi dengan syarat mereka mengenali erti tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), merasai kecil dan hinanya dunia, menjauhkan diri dari fitnah-fitnah, sabar menghadapi mihnah dan mahir seni memimpin ummat.
Oleh sebab itu, peringatan-peringatan ini tidak akan berbicara tentang fikrah perbandingan antara Islam dan aliran-aliran sosial dan ekonomi moden. Tidak juga akan berbicara dengan orang yang masih mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya.
Ia hanya ditujukan kepada muslim, yang benar imannya, suci aqidahnya, yang merasa perit dan sedih dengan realiti ummat muslimin pada hari ini. Buku ini akan cuba menunjukkan kepadanya toriq amal yang berhasil –insya Allah- dan jalan-jalan yang akan menyelamatkan ummah ini.
Peringatan-peringatan ini akan menunjukkan kepadanya keperluan-keperluan untuk peningkatan melalui tarbiyyah dirinya hingga sampai ke tahap yang diperlukan dalam toriq ini.
Mungkin juga peringatan-peringatan ini ditujukan kepada para du’at yang sudah faham toriq amal, yang bukan lagi bekerja secara sendiri-sendiri, faham kepada perlunya amal jama’I dan telah berada bersama-sama mereka yang bangun memukul jahiliyyah dan membawa umat ini kepada Islamnya semula, tetapi mereka masih memerlukan pengukuhan, peningkatan usaha dan proses melembutkan hati.
Begitulah…, kami telah mengutip segala erti kebaikan yang ditunjukkan oleh Yahya bin Mu’aaz (seorang zahid) ketika beliau berkata:
أحسن شئ كلام رقيق يستخرج من بحر عميق على لسان رجل رفيق
(Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, melalui ungkapan lidah seorang yang peramah dan berbudi).5Kamu akan mengetahui betapa peramah dan berbudinya hati-hati rijal tersebut yang telah menghadiahkan kepada kamu buah hasil pengalaman dan kesimpulan pengamatan mereka. Oleh sebab itu, kata-kata mereka menjadi berkekalan dan mendapat perhatian manusia, petanda ada hubungannya dengan al-haq (kebenaran).
(Sesuatu kata-kata tidak akan kekal merentasi generasi demi generasi kecualilah jika ia berhubung dengan al-haq dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat bantuan daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan sentiasa diilhamkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.
Berapa banyak kata-kata gemerlapan yang disiarkan oleh pemerintah yang zalim atau berhala yang masyhur; ia bergema-gema seketika, memancarkan cahaya sebentar, kemudian padam dan senyap, sama seperti tahi bintang yang bertukar menjadi habuk dan debu selepas terbakar. Ini semua kerana gemanya hanyalah dari pantulan suara kebatilan dan kilatannya pula hanya dari hiasan tipuan, bukan suatu yang benar.
Hanya aqal yang memahami, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan kebenaran yang dibawanya sahaja boleh mengungkapkan kata-kata benar yang kekal. Dia boleh mengungkapkan kata-kata perumpamaan yang terus menerus digunakan dan penjelasan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga kejadian tertentu, tetapi kata-katanya itu mencakupi mana-mana generasi, masa, negara dan kawasan.
Kamu akan dapati kehebatan kata-kata berdasarkan kehebatan orang yang berkata. Dia ingin menjadikan kata-katanya itu sebagai panduan kepada kehidupan manusia dan cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan).6
Puisi Menjadikan Perkataan Menarik
Aku dapati sesetengah buku tarbiyyah harakah Islamiah memisahkan antara prosa dan puisi tanpa alasan yang kukuh. Ini menjadikan para murabbi tidak dapat menggunakan beratus-ratus rangkap dan petikan puisi pelembut hati atau pembakar semangat atau puisi aqidah dan fikrah hasil karya para pemuisi thiqah lama atau moden dan juga para pemuisi dakwah. (Mungkin seseorang itu bila mendengar sesuatu mesej, ia sedikitpun tidak tersensasi; tetapi apabila mesej yang sama digubah dalam bentuk puisi, ia tiba-tiba menggembirakan orang yang gundah gelana, menggerakkan yang lalai dan mendekatkan matlamat yang dulunya dirasai amat jauh).7
Sebahagian daripada syair itu mempunyai hikmah; sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullah (saw).
(Intonasi dalam percakapan samalah seperti melagukan suara. Tujuannya ialah mengesankan pemikiran melalui tindakan mengesankan jiwa).8
Kerana itulah kami lebih cenderung menggunakan puisi dalam siri-siri nasihat ini, bertujuan untuk menjadi penambah nilai dan rasa kepada fikrah yang telah diungkapkan oleh mana-mana da’i. Moga ianya menjadi lebih mantap, lebih mendalam di dalam jiwanya dan lebih diingati sentiasa.
Bukti yang paling jelas tentang kepentingan puisi bagi menyebar dan mempertahankan aqidah ialah peranan yang telah dimainkan oleh puisi ketika digunakan oleh ahli-ahli bid’ah untuk menyebarkan bid’ah di kalangan masyarakat awam. Usaha ini dilakukan untuk menentang usaha-usaha Ibnu Taimiyyah serta pengikut-pengikutnya ketika mereka berusaha membatalkan segala bid’ah dengan hujjah-hujjah sunnah.
(Tidak dapat dinafikan bahawa hujjah rasional yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah memang ada kesannya, tetapi ke’dry’an lojik tidak dapat mengatasi kebasahan dan keindahan puisi) sebagaimana yang dikatakan oleh penyair Islam Sir Muhammad Iqbaal.9
Memang itulah yang berlaku. Pembawa-pembawa kesesatan yang menyebarkan bid’ah mereka dengan penerangan yang menarik dan kemampuan mereka menggubah puisi yang indah, telah menarik hati manusia awam tanpa disedari dan inilah juga yang menyebabkan segala kata-kata Ibnu Taimiyyah tidak mendapat tempat. Tambahan pula tidak ada daripada kalangan pemuisi hebat yang memihak kepada Ibnu Taimiyyah untuk membantunya.
Puisi mempunyai kuasa untuk membantu sesiapa sahaja yang menggunakannya, dapat mengindahkan suatu yang baik atau buruk, dapat menolong kebenaran atau kebatilan; tidak ada beza sedikitpun. Dalam semua perkara; samada pemikiran atau mana-mana hakikat kehidupan. Ini kerana jiwa manusia memang sukakan keindahan, dan puisi pula semuanya indah. Ia boleh menambah jelaskan, memanis, memikatkan sesuatu yang betul dan baik. Dalam masa yang sama ia dapat menutup kekurangan dan penyelewengan yang ada pada kebatilan sehingga menjadikannya cantik dan indah. Tiada seorang pun yang dapat lepas dari tertawan terpengaruh dengan puisi melainkan hati yang dimakmurkan dengan iman secukupnya.
Fenomena ini mendorong aku untuk memasukkan puisi-puisi dalam siri nasihat-nasihat ku ini.
Salaf Dan Pengikut
Imam Ahmad menjadi ikutan kita dalam menggunakan puisi yang melembutkan hati. Dia menghafal sebahagian puisi yang kemudiannya ditulis oleh Tha’lab; seorang sasterawan yang masyhur. Murid-murid Imam Ahmad pernah mendengar dia berpuisi. Pada hari mehnahnya, para penyair telah berdiri dihadapannya sambil berpuisi memujinya. Bahkan dikatakan beliau telah mengucapkan beberapa keratan puisi kerana tidak berpuas hati terhadap ‘Ali bin al Madiiniy yang tidak sabar bersamanya menghadapi penyiksaan.10
Pernah pula salah seorang muridnya telah berkata: (Wahai Abu ‘Abdullah: Apa pendapat kamu terhadap puisi yang menyebutkan tentang syurga dan neraka? Beliau bertanya: Contoh seperti puisi mana?
Muridnya menjawab: Seperti yang diucapkan oleh pemuisi-pemuisi: (membacakan syair):
إذا ما قال لى ربى أما استحييت تعصينى ؟
وتخفى الذنب من خلقى وبالعصيان .. تأتينى ؟
Maksudnya:Ketika tuhan berkata kepadaku | Takkah kau malu bermaksiat kepadaku?
Kau sembunyikan dosa dari makhlukku | Tapi dengan penuh noda kau mengadapku?
Imam Ahmad berkata: Ulangi sekali lagi !
Muridnya berkata: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu dia (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam rumah dan beliau mengulang-ngulangi syair tadi.11
Dengan keyakinan tentang faedah dan bolehnya menggunakan syair ini, aku memetik banyak puisi daripada antoloji penyair terdahulu. Kemudian juga daripada antoloji Waliid al A’zami, Mahmud Aali Ja’far, al Amiiriy, Abdul Wahhaab Azzaam dan lain-lain lagi.
Aku juga menambah lagi daripada syair Iqbaal, salah seorang penyair Islam yang agung sebagaimana yang terdapat di dalam antolojinya yang bertajuk (Risalatul Masyriq), (Al Asraar war Rumuuz) dan (Dharbul Kaliim). Puisi beliau mula memasuki pentas bahan bacaan nasihat-nasihat berbahasa Arab selepas ianya diterjemahkan oleh Abdul Wahhaab Azzaam.
Iqbaal adalah seorang penyair yang benar aqidahnya, mempunyai pandangan yang mendalam dan pemikiran yang sejahtera. Beliau telah dithiqahkan oleh Abul Hasan ‘Ali an Nadawi yang telah membuat satu kajian mengenainya yang dinamakannya: (Rawaa’i Iqbaal). Beliau juga telah dithiqahkan oleh al Mauduudi di dalam satu rencana penting yang disiarkan oleh al Majallatul Ba’thil Islaamiyyil Hindiyyah. Di dalamnya beliau menerangkan jasa Iqbaal memandu kembali generasi yang telah terkesima dengan tamaddun Barat dan menjauhkan mereka dari rasa perkauman sempit. Beliau juga jelas dengan bentuk sebenar Daulah Islamiyyah, sehinggakan al-Mauduudi telah menyifatkan bahawa apa yang dilakukan oleh Iqbal adalah suatu yang agung dalam usaha islah. Ia mempunyai nilai yang tinggi dan tidak boleh dilupai oleh sejarah Islam. Beliau juga telah menyelamatkan generasi muslim yang telah diserkupi dengan pelbagai godaan tarikan dan teori karut marut.
Lebih hebat lagi, di akhir hayatnya, Iqbaal telah membuat satu perkara yang amat besar dan penting mengikut neraca Islam, iaitu menggunakan penanya bagi membongkar kebatilan ajaran Qadiani dan Ahmadiyyah serta memberi amaran orang ramai daripada mendekati keduanya. Beliau sangat menentang kesesatan wehdatul wujud, tidak sebagaimana yang difahami oleh setengah golongan tentang sikapnya.
Bersama Fitrah Keindahan
Majaaz12, jinaas13 dan tasybiih14 adalah sama seperti syair dan puisi. Seseorang yang mempunyai zouq mendapati bahawa ungkapan bersemangat akan lebih berkesan jika dihiasi dengan seni-seni ilmu balaaghah ini. Oleh itu aku petik sebahagiannya yang tidak terlalu sukar.
(Majaaz, isti’aarah15, kinayah16 dan lain-lain uslub balaaghah, tidak lain hanyalah suatu yang nature keluar dari jiwa yang seni, kerana jiwa jenis ini sentiasa mahukan suatu yang lebih agung, lebih indah dan lebih halus. Mungkin orang yang tidak berjiwa seni menganggap ini semua sebagai mengada-ngada, sengaja memberat-berat dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Lalu dianggap semua bentuk ini adalah satu kerja kosong dan tidak berfaedah. Tetapi sifat kesenian yang ada pada jiwa penyair berpendapat bahawa ia menambahkan lagi mesej dan memberi kesan yang lebih terhadap jiwa dan emosi. Oleh itu penambahan dalam bentuk perkataan, pengolahan lafaz dan pengulangan makna tidak lain dan tidak bukan hanya bertujuan untuk memberikan penambahan kesan terhadap jiwa dan perasaan).17
Semangat pemuda Islam di permulaan abad baru..
Seterusnya..
Kurun yang lepas telah menyaksikan luka-luka yang memeritkan seluruh dunia Islam. Serangan musuh Islam telah sampai ke kemuncaknya. Sungguhpun begitu, cubaan untuk menanganinya semula telah dilakukan oleh mereka yang mempertahankannya. Walaupun kemenangan belum diperolehi, tapi sekumpulan pemuda Islam telahpun ter’tarbiyyah dan mula bangkit sedar. Keazaman mereka telah mantap. Ini semua meyakinkan lagi kita bahawa Islam pasti menang dalam kurun ini .. Insya Allah !
Nota Kaki
- Buku al-Muntalaq dalam bahasa Arab mempunyai dua versi. Satu versi penuh dan kedua versi khusus untuk pemuda. Muqaddimah ini adalah dari versi khusus untuk pemuda. Sementara isi buku ini adalah versi penuh. ↩
- Al-Ansori, Islam semasa berumur 18 tahun. Bersama dalam aqabah 2. Hadiri semua ma’rakah bersama Rasulullah saw. Diutus ke Yaman selepas Tabuk.. Meninggal di Syam semasa tahun 18 H. ↩
- Al-Ansori, salah seorang naqib semasa bai’ah Aqabah. Hadiri semua ma’rakah bersama Rasulullah saw. Syahid dalam ma’rakah Mu’tah. ↩
- Al-Ansori. Antara ansor yang lewat Islam. Islam hasil dakwah Ibn Rawahah ra. Hadiri ma’rakah selepas Badr. Ahli Quran. Menjadi qadi di Syam dan meninggal di Syam tahun 32 H (sebelum sayyidina Othman ra). ↩
- Taarikhul Baghdaad: 14/209 ↩
- As Syawaarid li ‘Azzaam: 340 ↩
- Khariidatul Qasr/Bahagian Iraq: 1/202 ↩
- Wahyul qalam – ar Raafi’i: 3/285 ↩
- Kitaab Muhammad Iqbaal – Abdul Wahhaab ‘Azaam: 52. Sir Muhammad Iqbāl (November 9, 1877–April 21, 1938) Indian Muslim poet, philosopher, and politician, among the greatest in modern times. Also famous for his work on religious and political philosophy in Islam, he is credited with first proposing the idea of an independent state for Indian Muslims, which would inspire the creation of Pakistan. Studying in England and Germany, Iqbal established a law practice, but concentrated primarily on writing.(Wikipedia) ↩
- Manaaqib Ahmad – Ibnul Jauzi: 205 ↩
- Talbiisu Ibliis – Ibnul Jauzi: 218 ↩
- Majaaz ialah lafaz yang digunakan bukan untuk maknanya yang sebenar kerana terdapat qariinah (penunjuk) yang menegah daripada maknanya yang sebenar ↩
- Jinaas ialah persamaan dua perkataan dari segi lafaz tetapi berlainan dari segi makna. ↩
- Tasybiih ialah keterangan yang menunjukkan bahawa dua perkara atau lebih, mempunyai kesamaan, sama ada dalam satu sifat sahaja atau pun lebih. ↩
- Isti’aarah ialah tasybiih (perbandingan) yang dibuang salah satu rukunnya (sama ada musyabbah atau pun musyabbahu bihi). ↩
- Kinaayah ialah lafaz yang disebut tetapi yang dikehendaki daripadanya makna yang berkaitan dengannya, dan dalam waktu yang sama harus juga yang dikehendaki ialah maknanya yang asal. ↩
- Wahyul qalam: 3/213 ↩
0 comments:
Post a Comment