11. Panji Kebaikan
SumberBAB 11: Panji Kebaikan
Pekong jahiliyyah telah terbongkar. Manusia telah melihat keburukan dan kepincangannya. Manusia sangat benci dan jemu kepadanya. Kini, tibalah giliran perpindahan kepimpinan jahiliyah kepada kepimpinan Islam.” 177
Dengan begitu simple Syed Qutb mengungkapkan apa yang dilihatnya. Beliau memperkatakan satu perkara besar dan agung. Suatu peralihan besar, tetapi sememangnya satu hakikat.
Oleh itu, ia diungkapkan dengan ungkapan yang simple. Begitulah sifat sesuatu hakikat bila-bilapun. Suatu yang menjadi suatu hakikat tidak perlu diperbungakan bahasanya, tak perlu penjelasan panjang lebar dan tidak perlu warna warni atau dekorasi lagi.
Itulah hakikat yang sedang dialami oleh Barat. Kekosongan jiwa, kerosakan seks, rasis dan kezaliman penjajah barat bukan sahaja satu kebankrapan, malah ianya adalah pekong besar bagi tamadun mereka.
Hakikat ini juga tergambar dalam kerosakan masyarakat Komunis. Kalaupun ia hanyalah sikap ganas dan penindasan ke atas kebebasan hak asasi, itupun sudah cukup menjadi keaiban yang besar.
Sebaliknya hakikat itu mempamerkan keadilan, toleransi dan ketenteraman Islam yang ditawarkan kepada setiap hati yang menderita dan merana lantaran tekanan kebendaan.
Renungan sepintas lalu itu jelas menunjukkan bahawa umat Islam telah jemu dan bosan dengan apa yang ditiru dari fahaman dan sistem materialisme Barat dan apa yang mereka taqlid dari kebuasan dan cara brutal blok Komunisme. Hati dan pemikiran mereka sekarang sudah cukup bersedia untuk kembali semula kepada Islam.
Tetapi, untuk tiba ke tempat aman tersebut, ia terpaksa melintasi padang pasir yang luas. Untuk melintasinya perlu ada pemandu jalan dan pemimpin yang berpengalaman, mahir dengan selok-belok perjalanan di gurun yang luas, mampu mengesan perjalanan, berpandangan jauh dan tepat serta bijak menentukan arah berpandukan bintang-bintang di langit.
Sekiranya pemandu dan penunjuk jalan telah ada, bermakna mereka telah hampir sampai ke matlamat.
Graviti da’i
Pemandu itu seelok-eloknya pandai menyanyi untuk menghiburkan mereka yang berjalan di belakangnya, supaya mereka mudah mengikutnya.
Itulah yang dapat digambarkan oleh analogi kami yang tidak begitu tepat ini. Siapa yang mengikuti pemandu yang disertai dengan hiburan kadang-kadang terlalai atau tersadung kakinya lalu tersungkur di tengah jalan tanpa disedari ataupun mengantuk lalu berhenti di tengah jalan.
Sebenarnya puisi Muhammad Iqbal lebih tepat, lebih sempurna dan lebih indah.
Beliau telah menemui pada “Pengenalan Seseorang Terhadap Dirinya” tarikan yang kuat memaksa orang lain mengikutnya. Apabila seorang muslim yang merdeka dan bijak menguatkan keperibadiannya, dan ia pula seorang da’i maka dia akan dapat menarik sesiapa yang dikehendakinya untuk beredar di sekitar orbitnya.
Iqbal telah berkata:
Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya lalu,
bulan pun beredar di sekitarnya tanpa henti178
Oleh kerana bumi mempunyai daya graviti, ia dapat memaksa bulan agar terikat dan beredar di sekitarnya sehingga bulan itu tidak pernah terfikir untuk lari dari bumi.
Demikian jugalah manusia, mereka akan pasti terkumpul dikeliling dakwah apabila da’i meningkatkan kekuatannya. Manusia itu akan berlegar di sekeliling dakwah dan merasai ikatan mereka dengan dakwah suatu kemestian.
Engkaulah wahai da’I yang menentukan ini semua.
Semua parti yang sesat itu tidak mungkin berkembang andainya kamu memantapkan kekuatan kamu. Ketika itu, manusia tiada jalan lain kecuali menjadi tawanan kamu.
Kekuatan hanya akan mantap bila berkumpulan.
Kekuatan hanya akan terjadi bila kita ‘berkumpul’.
Berkumpul akan melahirkan saf. Siapa yang berada dalam saf, dia pasti menang kecuali Allah menghendaki sebaliknya.
Firman Allah S.W.T.:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنيَانٌ مَرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang pada jalannya secara ber’saf’, seolah-olah mereka itu satu bangunan yang tersusun rapi.” (Al-Saff 61:4)Tukang-tukang sihir yang menentang Musa as sebelum mereka beriman memanggil-manggil sesama mereka: (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Quran)
فَأَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ ثُمَّ ائْتُوا صَفًّا
“Perkuatkanlah perancanganmu semua, kemudian datanglah kamu dalam satu ‘saf’.” (Toha 20:64)Begitulah perkumpulan yang tersusun rapi dibentuk oleh pihak jahiliyyah di setiap zaman. Ia adalah pelajaran besar kepada sesiapa yang sedih dan mengeluh-ngeluh melihat nasib umat Islam di seluruh dunia ini.
Jahiliyyah yang tersusun tidak akan dapat dikalahkan kecuali oleh Islam yang tersusun juga.
Da’i Islam pada hari ini tidak mungkin akan menang melainkan bila mereka menyatukan individu yang terbaik di kalangan mereka, kemudian datang merempuh dalam satu barisan yang tersusun rapi dan bersatu padu.
Kibarkan Panji Kebaikan
Tetapi, bagaimana tajammu’ umat Islam dapat lahir tanpa ada seseorang yang baik memulakannya?
Perlu ada permulaan… kadangkala dengan takbir yang menyedarkan. Kadangkala pula dengan nyalaan api yang menarik perhatian. Adakalanya pula dengan mengibarkan bendera yang dapat dilihat oleh orang yang baik, lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Ya.. Apa yang kurang pada umat Islam hari ini ialah bendera dan panji ini. Bilangan mereka sudah ramai, pengetahuan mereka tinggi, imej tinggi tetapi perpecahan dan hampasnya mereka telah melemahkan.
Abdul Wahab Azam Rahimahullah telah melawat sebahagian besar dunia Islam. Beliau telah menjelajah dunia Arab, Turki, India, Pakistan dan lain-lain untuk mengkaji realiti umat Islam secara dekat. Akhir beliau membuat kesimpulan bahawa umat Islam tidak kekurangan apa-apa, kecuali perpaduan. Lalu beliau memanggil umat Islam yang baik:
“Janganlah kamu merasa tertipu dengan kerosakan yang zahir dan kejahatan yang melata di sana-sini di antara umat Islam. Janganlah kamu gentar mendengar orang ini dan itu sudah rosak. Orang yang baik sebenarnya lebih ramai dari orang yang jahat. Tetapi, golongan jahat mengibarkan bendera mereka lalu orang yang jahat dan pengikut mereka berhimpun di bawahnya naungannya. Golongan yang baik lalu lari, tidak bersama-sama golongan jahat ini dan suara mereka tidak kedengaran apa-apa.
Sekiranya panji kebaikan dikibarkan, tentu mereka yang baik-baik itu berkumpul di bawahnya. Golongan jahat tentu akan diam dan mereka tidak akan glamour lagi.
Dalam mana-mana bangsa pun mesti ada orang baik dan jahat, mesti ada kejahatan dan kebaikan dan mesti ada perosak dan muslih. Jika dikibarkan panji kebaikan, nescaya orang baik dari mana-mana puak pun akan datang bernaung di bawahnya. Kebaikan di dalam jiwa-jiwa akan mula mengatasi kejahatan jiwanya. Akan lahirlah kebaikan yang terpendam di dalam jiwa yang belum ada lagi kebaikan. Sesungguhnya setiap manusia walau betapa besar pun kejahatannya, mesti masih terpendam di dalam jiwanya rasa cenderung kepada kebenaran dan kebaikan.” 179
Ungkapan ini memang benar dan sangat betul.
Ramai manusia yang baik sebenarnya menjadi bingung. Bila mereka lihat besarnya kerosakan di negeri mereka, melihat lintang pukang neraca dan nilai, melihat orang jahat berkuasa, mereka mula menyangka bahawa semua benda telah hancur punah dan tidak dapat dibaiki lagi. Kufur telah berkuasa penuh menyebabkan mereka terpaksa memilih sama ada diam membisu atau berhijrah ke negeri yang kurang kejahatannya dan ‘mengganggur’ di sana.
Hijrah Yang ‘mafdhulah’ (kurang prioritinya)
Dulu lagi, ketika golongan Jahmiyyah, Muktazilah dan semangat perkauman benci Arab (Sya’ubiyyah) berkuasa di zaman Khalifah al-Makmun, al-Muktasim dan al-Wasiq, segala urusan pentadbiran telah diserahkan kepada orang yang tidak sepatutnya. Ketika itu, seorang pemimpin Arab yang sayangkan Islam, Abu Dalaf al-Qasim al-’Ijliy merasa sangat sedih. Beliau merupakan salah seorang baik yang hebat, sahih akidahnya dan nyata kemuliaannya. Beliau menentang semangat anti bangsa Arab yang didokong oleh sebahagian pemimpin negara, lalu dia mara dan berkata:
Kedudukan orang mulia di negeri yang hina
mustahil untuk berhijrah sekalipun mungkin,
di mana tiada siapa yang mengangkat pedang untuk menentang kezaliman
dan tiada tempat bagi panglima yang gagah perkasa
di negeri yang bangsat ini, kaum yang mulia menjadi hina
hinggalah mereka dikuasai oleh golongan yang hina180
Kemudian, dia berpindah ke perkhemahan askarnya di kota al-Karakh yang terletak hari ini di jalanraya antara Iraq dan Khurasan tak jauh dari Karmansyah. Ini bukan al-Karakh yang terkenal di Baghdad itu.
Abu Dalaf adalah seorang yang merdeka tetapi dia bersendirian. Oleh itu, tiada apa yang menghalangnya dari berhijrah meninggalkan Baghdad. Manakala Imam Ahmad bin Hanbal pula beliau benar-benar merdeka juga dan da’i. Beliau enggan berhijrah sebaliknya bertahan di Baghdad, mengangkat panji bendera dakwah, bertahan thabat dan akhirnya dapat mengalahkan kumpulan bid’ah.
Demikianlah keadaan da’i Islam yang merdeka di sepanjang zaman. Mereka sabar bertahan di negerinya, mengutip dari masyarakat itu pemuda dan pemudi baik yang masih terpelihara hati dan fizikal mereka dari kekotoran, penyakit dan noda jahiliyyah. Da’i ini mentarbiyyah dan memantapkan mereka dengan izzah Islam. Lalu dibina dari mereka saf-saf.
Benar… dalam masyarakat yang tertindas yang telah lama tunduk kepada thaghut, biasanya kita dapati jiwa akan cenderung kepada kehinaan, kerehatan dan sukakan yang mudah.
Tetapi di dalam jiwa manusia sebenarnya masih ada kecenderungan pada ketinggian, rindukan kemuliaan, kehebatan dan kehormatan.
Sesungguhnya di dalamnya ada bara yang tertimbus oleh abu. Bunga-bunga apinya menunggu untuk di tiup. Apabila ada yang meniupkannya, ia akan kembali membara dan menyala, bangun, bekerja dan berusaha. Bila ia mula merasai kelazatan amal dan mendaki, bertambahlah cinta dan asyiknya kepada kerjanya itu.” 181
Justeru itu, tindakan orang yang berhijrah adalah salah, kecuali hijrah untuk menjaga rahsia yang perlu dijaga atau hijrahnya ‘ahli fiqh’ kepada orang yang memerlukannya atau hijrah orang yang takut terfitnah pada agamanya.
Sikap berdiam diri pula lebih jauh dari betul. Syed Qutb berkata: “Mereka yang melihat kezaliman di sepanjang jalan dan menemui pencerobohan di setiap tempat, tetapi tiba-tiba tangan dan lidahnya tidak bergerak padahal mereka mampu menggerakkannya, mereka itulah orang yang hatinya tidak termakmur oleh Islam. Sekiranya hati mereka termakmur dengan Islam, nescaya mereka berubah menjadi mujahidin.” 182
Oleh itu, orang yang beriman yang makmur berjiwa Islam adalah sentiasa mutaharrik dan muharrik. Mereka yang hanya menunggu dan lihat dan berjanji akan bersama-sama dakwah setelah nampak bibit-bibit kejayaan, maka dia adalah orang yang lemah.
Wahai sahabatku
Tidak merdeka yang memberontak terhadap kezaliman, sesungguhnya sebelum itu telah banyak kaum yang memberontak
Orang yang merdeka ialah orang yang bergerak menuju kepada kezaliman.
Lalu menundukkan kezaliman sedang manusia masih tidur183
Hanyalah Dakwah yang dapat menyucikan Kita
Fuqaha’ terdahulu lebih dapat membezakan pengertian ini daripada orang di zaman di zaman mutakhir. Mereka menyatakan bahawa kemuliaan umat Islam di zaman salafussoleh itu adalah kerana mereka melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar.
Sebab itu mereka berkata: “Tugas itulah yang menjadi paksi terbesar di dalam agama. Untuk melaksanakan tugas itu, Allah S.W.T. mengutus seluruh Nabi dan Rasul a.s. Sekiranya tugas ini tiada, mengganggurlah kenabian dan risalah Islam, musnahlah agama, kosonglah dunia dan hidayah, tersebarlah kesesatan, berkembang-biaklah kejahilan, menjalarlah kerosakan. Yang koyak bertambah luas lubangnya, runtuhlah segala negeri dan binasalah seluruh hamba Allah di muka bumi. Mereka hanya akan menyedari kebinasaan itu bila tiba hari pembalasan. Apa yang kita takuti telah terjadi. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Semua ilmu dan amal amar makruf nahi mungkar ini telah hilang.” 184
Imam al-Ghazali mengatakan yang demikian kepada umat Islam di zamannya.
“Bagi orang yang melihat dan berfikir, dia akan mencari jalan bagaimana hendak menyelamatkan umat dari kebinasaan itu. Tiada jalan selain apa yang telah dilakukan oleh angkatan pelopor. Lalu dia pun menawarkan ganjaran dan tercari-cari siapakah yang akan menjadi angkatan pelopor. Menyimpan untuknya kedudukan yang tertinggi dan darjat yang mulia menghampiri Tuhannya Yang Maha Pengasih. Dia mendongakkan pandangannya ke puncak dan memekik :
“Wahai manusia, siapakah yang mahu mengisi kekosongan ini dan menampal retakan ini. Siapa yang sanggup memikul tugas atau pelaksanaannya, membaharui sunnah yang beredar ini, bangun memikul bebanannya dan berusaha bersungguh-sungguh menghidupkannya, dialah yang mengambil peranan paling utama di kalangan manusia dalam menghidupkan sunnah yang kian mati dan pupus ditelan zaman. Maka dialah yang berjaya membolot segala kemuliaan dan kedudukan yang tinggi yang mengatasi segala darjat lain yang tidak setanding dengannya.” 185
Mengenai hijrah yang telah kita sebutkan, kita telah didahului oleh sahabat-sahabat Nabi S.A.W.
Ibnu Taimiyah telah berkata: “Abu Hurairah telah berkata: “Berjaga satu malam di kubu pertahanan jihad lebih aku suka daripada berdiri (bersembahyang) pada malam lailatul qadar di sisi Hajar Aswad. Bumi yang paling mulia bagi seorang manusia ialah bumi yang paling dia dapat mentaati kepada Allah dan rasulNya. Ia berbeza mengikut situasi. Tidak ditentukan bumi mana yang lebih mulia yang dipijaki oleh manusia, tetapi yang lebih mulia bagi setiap manusia tertakluk kepada sifat takwa, taat, khusyuk, tunduk dan hadir hatinya di hadapan Allah.
Abu al-Darda’ telah menulis surat kepada Salman:
“Jomlah kita ke tanah suci !” Salman terus membalas suratnya: “Sesungguhnya bumi tidak dapat menyucikan seseorang. Tiada yang dapat menyucikan seseorang hamba kecuali amalnya.” Sebelum ini Rasulullah S.A.W. telah mempersaudarakan di antara Salman dan Abu al-Darda’ dan Salman lebih dalam kefahamannya berbanding Abu al-Darda’ di dalam beberapa perkara, antaranya ialah perkara ini.” 186
Amalanlah yang sebenarnya menyucikan seseorang. Dan semulia-mulia amalan pula ialah amar makruf nahi mungkar. Manakala semulia-mulia amar makruf nahi mungkar ialah yang dilaksanakan di negeri yang memerlukan kegiatan tersebut dan membuahkan hasil darinya. Janganlah kamu diperdaya oleh rasa zuhud semata-mata dan mendorong kamu untuk berhijrah dari tempat yang bermanfaat kepada kamu. Dengarlah penjelasan Ibnu al-Qayyim untuk kita:
“Agama itu bukanlah semata-mata meninggalkan perkara yang jelas haram, bahkan juga melaksanakan segala perintah yang disukai Allah. Sebahagian besar manusia yang kuat agama tidak memperdulikan hal itu kecuali apa yang dibuat bersama-sama masyarakat awam. Jihad, amar makruf, nahy mungkar, nasihat kepada Allah, rasulNya dan hamba-hambaNya, menolong Allah, rasulNya, agamaNya dan kitabNya merupakan kewajipan-kewajipan yang tidak terlintas di dalam fikiran mereka, apalagi hendak dilaksanakan. Manusia yang paling kurang agamanya dan yang paling dimurkai Allah ialah manusia yang meninggalkan kewajipan-kewajipan ini walaupun dia seorang yang zuhud dan meninggalkan dunia seluruhnya. Jarang sekali kamu melihat orang yang merah padam mukanya kerana Allah, marah kerana kehormatan Allah dicabuli dan mengorbankan hartanya untuk menolong agamaNya.” 187
Rasulullah S.A.W. : “Seluruh waktunya diwakafkan untuk berjihad dengan hatinya, lidahnya dan tangannya. Oleh itu, jadilah baginda manusia yang paling tinggi namanya dan paling mulia kedudukannya di sisi Allah.” 188 Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. merupakan contoh ikutan dan tauladan yang terbaik bagi kita.
Nota Kaki
- Mukaddimah Syed Qutb di dalam buku al-Nadwi: Maza Khosira al-‘Alam bi Inkhitat al-Muslimin, m.s. 20 ↩
- Diwan al-Asrar wa al-Rumuz, m.s. 15 ↩
- Syawarid Abdul Wahhab Azzam hlm. 173. ↩
- Ibnu Taifur, Kitab Baghdad, m.s. 133 ↩
- Abdul Wahab Azam, Al-Syawarid, m.s. 353 ↩
- Syed Qutb, Dirasat Islamiyyah, m.s. 29 ↩
- Abdul Wahab Azam, Diwan al-Mathani, m.s. 80 ↩
- Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulumuddin, Jilid 2, m.s. 302 ↩
- Ibid, m.s. 306 ↩
- Ibn Taimiyah, Majmuk Fatawa, Jilid 18, m.s. 283 ↩
- ‘Iddat al-Sobirin, m.s. 121 ↩
- Zad al-Ma’ad, Jilid 2, m.s. 38 ↩
0 comments:
Post a Comment