Saturday, 6 December 2014

Ahli Ibadat yang Bermain-main

5. Ahli Ibadat yang Bermain-main

Sumber
 
BAB 5: Ahli Ibadat yang Bermain-main
Apa yang telah kita petik sebelum ini dari Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim, Imam A1-Ghazali dan dari beberapa tokoh Islam masa kini tentang wajibnya berdakwah  serta amar makruf nahi mungkar dengan bersandarkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. sebenarnya adalah satu penjelasan yang amat jelas dan terang. Ia sudah cukup untuk menolak kekeliruan mereka yang membisu dan menyangka beberapa kenyataan fiqh yang berbentuk umum itu dapat mengecualikan mereka dari kewajiban ini.
Walaupun akhir-akhir ini telah banyak seruan dari da’i Islam yang mengajak orang ramai, khususnya kepada mereka yang bersembahyang (ahli ibadat) supaya bekerjasama dan menolong da’i Islam dalam kerja amar makruf nahi mungkar ini, namun begitu sebahagian besar dari mereka hanya berpada menggelupur sedih dengan realiti orang Islam. Mereka masih tidak mengetahui jalan kerja (tariqul ‘amal). Kalaupun ada di kalangan mereka yang tahu, biasanya dihalang pula oleh rasa takut dan ingin menjaga kepentingan. Takut memikul risiko dakwah dan pengorbanan serta ingin menjaga harta benda dan kepentingan dunia.
Justeru, mereka mengasingkan diri di masjid-masjid atau di rumah masing­-masing meratapi nasib Islam dan membiarkan generasi dan belia Islam yang tak faham apa-apa itu tertinggal dididik dan dibentuk oleh puak-puak atheis, sekularisme, komunisme dan materialisma, menjerumuskan belia Islam menjadi rosak dan hidup dalam hawa nafsu, zina, arak dan berpoya-poya di alam hedonisme.
Mereka yang bersembahyang, sayangkan Islam dan yang berdukacita melihat keadaan umat Islam ini sebenarnya turut membaca kitab-kitab fiqh, kitab-kitab ‘zuhud’ dan ‘al-Raqaiq’ yang menjadi sumber petikan kita. Tetapi ketakutan mereka tidak dapat membuka mata mereka untuk mengamati laungan orang-orang ikhlas yang berjuang di sepanjang zaman, sejak zaman sahabat-sahabat Rasulullah saw hinggalah ke hari ini. Da’i yang ikhlas itu tidak henti-­henti mengajak mereka agar bekerja untuk Islam, membawa khabar gembira dengan Islam, berdakwah orang ramai, memberi peringatan kepada yang lalai dan mengajak supaya meninggalkan uzlah dan sembunyi diri, tampil ke medan untuk berjihad dan berkorban.
Kesedihan ini merupakan kesedihan yang ‘tak guna’, ibadah yang tak digalakkan, uzlah yang sia-sia dan bid’ah yang meruntuhkan, walaupun ia penuh dengan niat yang ikhlas dan baik.
Siapakah yang Akan Memerangi Musuh Jika Kamu Memencilkan diri?
Kumpulan pertama yang keliru itu telah mula muncul sejak zaman permulaan Islam, di zaman sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W ketika itu masih lagi hidup. Abdullah bin Mas’ud r.a adalah sahabat yang bangun menentang mereka. Beliau faham bahawa ‘uzlah’ adalah bertentangan dengan Islam yang mutaharrik dinamik, sebagaimana yang dididik oleh Rasulullah saw. Islam didikan Rasulullah saw adalah Islam amar makruf dan nahi mungkar, berjihad dan berdakwah. Lalu Ibnu Mas’ud menerangkan bid’ahnya mereka, mengherdik dan mencabut kekeliruan mereka dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.
Seorang ahli fiqh dari para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a. lalu dia pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau.
Tiba-tiba Ibnu Mas’ud berkata kepada mereka: “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”
Mereka berkata: “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”
Lalu kata Abdullah bin Mas’ud: “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Syeikh  ahli hadis Abdullah bin al-Mubarak.’91
Menurut andaian saya (Wallahua’alam), amalan bid’ah ini iaitu mengasingkan diri dan beruzlah dari masyarakat untuk beribadat adalah amalan yang ditiru dari kaum Nasrani. Di bumi Furat yang terletak berhampiran bandar Kufah terdapat banyak biara kristian. Bani Tay yang tinggal di kawasan ini banyak yang telah  menerima kristian ini sebelum kedatangan Islam. Ketua mereka ‘Adi bin Hatim Al-Taa’iy r.a. sendiri pernah memeluk Nasrani sebelum masuk Islam.
Dari kisah Abdullah bin Mas’ud ini, para da’I sepanjang generasi dapat mengambil satu kesedaran yang benar. Sesungguhnya ia adalah kalimah yang benar, simbol kesedaran dan lambang tarbiyyah Nabi saw.
Tanda-tandanya jelas dalam kata-kata mereka sebagaimana ianya jelas di wajah-wajah mereka.
Siapakah yang akan memerangi musuh jika ahli ibadat itu mengasingkan diri dari masyarakat?
Siapakah yang akan melawan konspirasi Zionisme, Freemason, propaganda Komunisme dan Atheis sekiranya orang yang bersembahyang dan ahli ibadah tetap di dalam masjid-masjid, tidak bergabung tenaga dengan da’i Islam?
Setelah Ibnu Mas’ud dan sahabat-sahabatnya wafat dan berlalunya generasi para mujahid tabi’in yang dididik oleh para sahabat Rasulullah S.A.W., sebahagian orang Islam telah kembali semula meninggalkan jihad, kembali beruzlah diri dari masyarakat orang ramai. Fenomena ini berlaku pada separuh kedua abad kedua hijrah.
Abdullah bin Al-Mubarak Mewarisi Ibnu Mas’ud
Tetapi Allah S.W.T. telah memberi hidayah kepada Abdullah bin Al-Mubarak (meninggal pada 181H) untuk mentajdidkan kembali kehangatan nadi umat Islam.
Abdullah bin Al-Mubarak Rahimahullah adalah seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti dengan adanya hadis-­hadis beliau yang termaktub di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, kitab-kitab sunan dan kitab-kitab musnad. Lebih dari itu, beliau adalah antara fuqahak yang bijak dan mempunyai harta yang banyak. Kekayaannya telah dibelanjakan untuk membiayai ahli ilmu di semua kota-kota besar Islam. Beliau juga mempunyai koleksi puisi-puisi iman yang indah.
Bukan itu saja, bahkan beliau juga adalah seorang da’i dan mujahid. Setiap tahun beliau menghadiri perang ke negara Rom Timur dan menjadikan Tarsus yang terletak di selatan Turki sebagai tempat tinggalnya. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau pemimpin ahli hadis dalam generasinya.
Kata-kata yang dipetik di dalam bukunya dari Abdullah bin Mas’ud itu telah menggegarkannya lalu dijadikan sebagai pelita panduan dalam hidupnya. Beliau memainkan peranan  Ibnu Mas’ud yang kedua. Hinggakan kita dapat lihat beliau membantah sikap sahabatnya, seorang abid zahid yang thiqah iaitu al-Fudhail bin Iyadh r.a (meninggal pada 187H) kerana meninggalkan jihad di medan dan mengasingkan diri di Mekah untuk beribadat.
Al-Fudhail juga merupakan seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti melalui hadis-hadisnya yang terdapat di dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Dalam sejarah Islam, beliau dianggap sebagai abid dan zahid yang termasyhur dan paling baik perkataannya. Tetapi Abdullah bin Al-Mubarak tidak menganggap keistimewaan itu sebagai alasan untuk meninggalkan jihad dan memerangi musuh Islam. Ibnu al-Mubarak pun mengeluarkan ‘kata-kata berat’ kepada al-Fudhail dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai ahli abid yang bermain-main dengan ibadatnya. Tegurannya itu dikirimkan kepada al-Fudhail dari Tarsus setelah selesai satu peperangan, semasa belum pun sempat debu di badannya hilang. Beliau mengirimkan rangkap-rangkap puisi yang tersangat indah, yang boleh dijadikan hujah bagi setiap da’i selepas beliau.
Puisinya mengandungi rangkap-rangkap yang sungguh mengkagumkan, isinya yang sangat benar dan mesejnya sangat tepat dan mantap.
Bukalah hati kalian, rungkaikanlah belenggu dan bebaskanlah hati kalian dari ikatan, supaya ia dapat terbang dan melayang tinggi bersama rangkap­-rangkap puisi Ibnu al-Mubarak:

ياعـابد الحرمين لو أبصرتنا                 لعلمت أنك بالعبــادة تلعب
من كان حين يخضب جيده بدموعه           فنحورنا بدمائنا تتخضب
أو كان يتعب خيله في باطل               فخيولـنا يوم الصبيحة تتعب
ريح العبير لكم ونحن عبيرنـا            رهج السنابك والغبار الأطيب
ولقد أتانا من مقال نبيـنا                   قول صحيح صادق لا يكذب
لا يستوي وغبار خيل الله                 أنف امريء ودخان نار تلهب
هذا كتاب الله ينطق بيننا                      ليس الشهيد بميت لا يُكذب

Wahai abid dua tanah haram, jika kamu melihat kami,
nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.
Orang yang membasahi lehernya dengan air mata,    sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,
Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia, sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,
Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan,
Telah datang sabda Nabi kita kepada kita, kata yang benar, tepat dan bukan dusta,
“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang menyala”
Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa, “orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta92

Ungkapan Abdullah bin al-Mubarak ini ditujukan kepada seseorang yang berada di tanah haram Makah al-Mukarramah untuk beribadah. Al-Fudhail digelar ”abid dua tanah haram” (Mekah dan Madinah). Beliau terkenal dengan banyak menangis. Kerana itulah Abdullah bin al-Mubarak menyindirnya dengan menyebut air mata. Seperti kebanyakan orang yang bersolat, al-Fudhail memakai haruman mawar dan lain-lain wangian sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, Abdullah bin Al-Mubarak menyindirnya dengan mengatakan ianya hanya satu haruman sahaja dan terlalu mudah, padahal Rasulullah S.A.W. dan pewaris baginda dari kalangan ulama’ mujahidin berlumuran dengan bauan debu di medan di samping haruman mawar dan kasturi.
Apakah yang patut kita katakan kepada orang yang pada hari ini meninggalkan jihad dan dakwah, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar, bukan kerana banyak beribadat, tetapi adalah kerana untuk berehat, bermewah, mengumpul-ngumpulkan harta atau hanya ingin memuaskan hati isteri atau suami?93
Apakah tidak patut kita katakan kepada ahli zuhud hari ini apa yang telah di katakan oleh Abdullah bin Al-Mubarak:
“Wahai ahli ibadah, jika kamu melihat bagaimana da’i Islam bertarung dengan pendukung kekafiran (jahiliyyah) dan puak-puak yang sesat di zaman moden ini, barulah kamu perasan bahawa kamu hanyalah bermain-main dalam ibadatmu.”
Jika orang yang banyak beribadah pada hari ini merasa bengkok belakangnya kerana terlalu banyak melakukan solat, kering tekak mereka kerana terus-menerus berpuasa, maka para da’i pula bengkok belakang mereka kerana setelah menunaikan solat fardhu dan sunat, mereka terpaksa ke sana ke mari pula membincangkan dan merencanakan pelbagai urusan dan maslahah umat Islam. Tekak mereka pula kering kerana banyak bekerja dan bergerak. Mereka mengorbankan darah mereka hinggakan jasad-jasad mereka kemudiannya  terkulai di tali gantung.
Abdul Kadir AI-Kailani di Atas Jalan Dakwah dan Jihad
Beberapa generasi selepas Abdullah bin al-Mubarak, tiba-tiba semangat ini lemah dan muram kembali. Ahli abid dan zuhud mula mengasingkan diri di ribat-ribat dan meninggalkan tugas membimbing orang ramai. Dakwah tidak dijalankan. Sekali lagi kegawatan dan kekacauan merebak semula dalam masyarakat Islam hinggalah abad keenam hijrah. Ketika itu lahirlah seorang pewaris unggul yang mengikut jejak langkah Ibnu Mas’ud dan Ibnu al-Mubarak. Dia bangkit dan bangun, tidak senang hatinya bila melihat orang Islam hanyut di dalam bid’ah pertapaan (uzlah), mengasingkan diri dari pergolakan hidup masyarakat. Dia pun berdiri tegas, memanggil umat dan mendedahkan kepada mereka penyakit yang sedang mengancam.
Beliau adalah Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah. Tauladan dan seorang ulama’ yang bijaksana. Beliau adalah seorang faqih yang thiqah dari fuqaha’ mazhab Hambali di Baghdad. Biasanya Ulama’ Mazhab Hambali di setiap zaman adalah zahid dan masyhur dengan tajarrud ilmi. Beliau adalah dari keluarga mulia keturunan Sayyidina Ali melalui Hassan al-Muthanna bin Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a. Beliau dinasabkan dengan bandar Kailan kerana bandar itu adalah tempat kediaman datuk neneknya. Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qayyim memuji dan menyanjung tinggi kepadanya. Kedua-duanya menggelar beliau “Al-Syeikh al-Qudwah” sebagaimana yang kerap disebutkan di dalam “Madarij al-Salikin.”
Syeikh Abdul Qadir banyak berbicara dan melaungkan seruan kepada penduduk Iraq dengan bahasa yang indah dan mesej yang sangat jelas. Salah seorang muridnya telah memetik kepada kita beberapa pidato beliau yang disalin dengan pantas ketika beliau berkhutbah di dalam pidato mingguannya pada tahun 545H. Pidato beliau dibukukan di dalam sebuah buku yang bertajuk “Al-Fathu Rabbani Wal-Faidhu ar-Rahmani.” Walaupun mungkin terdapat beberapa perkara yang perlu ditolak, tetapi buku itu penuh seruan al-haq, pandangan-­pandangan bernilai dan sangat menekankan wajibnya dakwah dan amar makruf nahi mungkar.
Marilah kita dengar beberapa seruan al-haq tersebut itu:
“Ahli zuhud yang baru di dalam zuhudnya lari dari makhluk. Tetapi ahli zuhud yang sempurna zuhudnya tidak lari dari manusia, bahkan mencari-cari mereka kerana dia telah mengenali Allah S.W.T. Sesiapa yang mengenali Allah tidak akan lari dari sesuatu dan dia tidak takut pada sesiapa pun kecuali Allah.
Orang baru lari dari orang-orang fasik dan ahli maksiat, tetapi yang telah tamat akan mencari-cari mereka. Bagaimana dia tidak mencari mereka sedangkan semua ubat untuk mereka ada padanya?
Justeru, sebahagian dari mereka telah berkata: “Tidak ketawa di hadapan orang fasik kecuali orang yang mengenal Allah.”
Siapa yang telah sempurna mengenal Allah S.W.T., ia akan menjadi penunjuk manusia kepadaNya. Dia menjadi jala untuk menangkap manusia dari lautan dunia. Dia diberi kekuatan hingga mampu mengalahkan iblis dan tenteranya.
Dia merampas manusia dari genggaman syaitan-syaitan itu.
Wahai orang yang beruzlah diri, kerana zuhud tetapi sebenarnya jahil!  Mari sini…  dengar aku nak cakap ni :
“Wahai para zuhud di dunia semua, mari sini semua !  Robohkanlah tempat bertapa kamu, datang dekatku. Kamu semua ni duduk di tempat mu itu tanpa apa-apa dalil pun. Kamu tidak melakukan apa-apa kebaikan. Mari sini.”94
Kata-kata ini diucapkannya ketika beliau sudah tua.
Demikianlah kefahaman orang yang alim yang beramal dengan ilmunya. Kata-kata beliau ini benar-benar menggegarkan hati.
Cubalah amati kata-kata beliau:
“Wahai ahli zuhud di bumi, mari sini ! Robohkanlah biara kamu.”
Robohkanlah biara kamu, wahai orang yang lari dari masyarakat dan tersungkur di bawah ikatan ideologi-ideologi moden dan cara fikir taghut abad yang kedua puluh ini….
Ambillah tempatmu di dalam saf-saf barisan para da’i Islam.
Ibnu al-Jauzi Menyifatkan Mereka Yang Berani
Dalamasa yang sama, ada juga da’i lain di Baghdad yang berjiwa besar seperti Syeikh Abdul Qadir ini yang bekerja menyeru manusia. Beliau adalah Abu al-Farj Abdul Rahman bin Al-Jauzi, pengarang buku “Zad al-Masir fi Ilmi al-Tafsir” dan “Talbis Iblis” dan puluhan kitab lain yang amat berguna.
Beliau terus bertegas dan terus terang, tampil ke hadapan dan berkata:
“Ahli zuhud ni macam kumbang-kumbang, tanam diri dalam tanah dengan mengasingkan diri dari memberi sesuatu kepada manusia. Uzlah itu baik jika tidak menghalangnya dari membuat kebajikan, solat jemaah, mengiringi jenazah dan menziarahi orang sakit.
Tapi sebenarnya uzlah ni adalah kerja orang pengecut. Mereka yang berani adalah mereka yang belajar dan mengajar orang lain. Inilah sebenarnya maqam/level para Nabi-nabi a.s.” 95
Begitulah ungkapan orang yang ada kesedaran dari mana-mana generasi pun. Mereka tidak membenarkan sesiapapun untuk beruzlah dari masyarakat, berhenti berdakwah, walaupun mereka banyak beribadat.
Jika hendak dibentangkan semua kata-kata mereka tu, nanti terlalu panjang. Dr. Hissan Hathut telah menyimpulkan semua ungkapan indah mereka itu dan sebagai mewakili semua yang lain, beliau telah mengungkapkan rangkap-rangkap puisi ini:
Mereka sangka agama itu ialah uzlah dan pertapaan
dan asyik di dalam wirid dan zikir
Anehnya kulihat mereka beriman dengan sebahagian,
kelihatan hati mereka kufur terhadap sebahagian lagi
Padahal agama ini ada fardhu, sunat, dan istighfar kepada Allah
Agama ini adalah medan jihad, kepahlawan
yang menghancur-leburkan kejahatan dan penyangak
Agama ini pemerintahan atas  nama Tuhanmu
Menegakkan keadilan, bukan kezaliman dan bukan ambil tak kesah96
Tinggalkan Rumahmu di Belakang
Duduk pula di rumah  -setelah beruzlah di masjid- adalah lebih teruk lagi dan langsung tidak menggambarkan sifat seorang muslim sebenar. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. men’fire’ habis-habisan orang yang bersembunyi di rumah, duduk bersenda gurau dengan isterinya dan anak-anaknya, meninggalkan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar. Mereka ini mengosongkan tempat mereka dalam barisan pejuang yang sepatutnya dipenuhkan untuk menentang taghut.
Para perawi telah meriwayatkan kepada kita dari seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang dijamin masuk syurga, iaitu Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a. Beliau telah berkata: “Cukup jadi keaiban kepada seseorang bila dia hanya duduk-duduk sahaja di rumahnya.” 97
Tiada seorang pun ulama’ yang terkemuka yang redha dengan sikap demikian. Contohnya Imam al-Ghazali, beliau berkata:
“Ketahuilah, mana-mana orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya tidak dapat tidak telah melakukan kemungkaran. Bila dia duduk sahaja di rumah, ertinya dia tidak membimbing manusia, tidak mengajar dan mengajak mereka kepada kebaikan. Walhal, di luar sana, masih ramai manusia yang jahil tentang agama dan hinggakan tidak tahu syarat-syarat solat. Apatah lagi mereka yang tinggal di kampung-kampung pedalaman samada Arab Badwi, Kurdis dan Turkmeni dan lain-lain.
Sepatutnya di setiap masjid dan kampung, ada seorang alim faqih yang mengajar agama kepada manusia. Wajib ke atas setiap orang faqih -yang telah selesai melaksanakan kewajiban fardhu ain dan fardhu kifayahnya dirinya – keluar ke negara-negara berdekatan, sama ada bangsa Arab, kaum Kurdi atau kaum etnik lain bagi mengajar mereka tentang agama dan hukum-hukum syariat mereka.”98
Firman Allah S.WT. :

يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (1) قُمْ فَأَنذِرْ

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah, lalu berilah peringatan!” (Al-Muddassir 74: 1-2)
Ibnu Taimiyah mentafsirkan ayat di atas dengan berkata:
“Wajib ke atas umat Islam untuk menyampaikan apa yang diturunkan kepada Nabi S.A.W.,. Mereka wajib memberi peringatan kepada manusia sebagaimana baginda S.A.W. telah melakukan hal tersebut.
Firman Allah S.W.T.:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya; Eloknya satu kelompok berangkat dari setiap kumpulan untuk mereka memahami deen dan memberi amaran kepada kaum mereka apabila mereka balik nanti. Mudah-mudahan kaum mereka itu akan takut kepada azab Allah.”99 (At-Taubah 9:122)
Bangsa jin pula apabila mereka mendengar ayat al-Quran, “..mereka kembali kepada kaumnya, memberi peringatan.100” 101
Dalam timbangan keimanan Islam, amalan-amalan berbeza keutamaannya  mengikut fiqh awlawiyyat. Satu amalan pula mungkin berbeza keperluannya dari seorang kepada seseorang yang lain, dari satu suasana ke suasana yang lain dan antara satu masa dengan masa yang lain. Adakalanya, setiap individu muslim mempunyai satu amalan khusus yang lebih utama untuk dilakukan olehnya berbanding dengan amalan­-amalan lain yang juga mulia.
Ibnu al-Qayyim Rahimahullah telah menyebutkan: “Orang yang berani dan kuat yang mampu menggerunkan musuh, maka berdirinya dia di barisan depan jihad menentang musuh Allah lebih afdhal dari mengerjakan haji, berpuasa, bersedekah dan ibadah-ibadah sunat yang lain.”
“Bagi orang alim pula yang memahami sunnah, halal haram, kebaikan dan kejahatan, maka bergaul dengan orang ramai, mengajar dan menasihati mereka  lebih utama baginya dari mengasingkan diri dan menghabiskan masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan bertasbih.” 102

Janganlah ada sesiapa yang cuba berhujah dengan hadis-hadis fadilat solat-solat sunat dan tasbih untuk menjustifikasikan tindakan mereka beruzlah dari orang ramai, meninggalkan tugas membimbing manusia lain serta mengajar dan menasihati mereka, berdasarkan pengetahuannya. Sesungguhnya melaksanakan dakwah itu lebih baik daripada melakukan solat-solat sunat.
Da’i Adalah Pengembara
Da’i (yang betul-betul melaksanakan dakwah) tidak patut merasa gundah gulana sekiranya dia tidak mempunyai masa yang banyak berqiamullail setiap hari atau dapat memperbanyakkan khatam Al-Quran kerana sibuk dengan urusan dakwah. Ini kerana, kerja-kerjanya di dalam dakwah seperti mengajar manusia, dan mentarbiyyah pemuda-pemudi Islam itu lebih utama baginya dan lebih banyak pahalanya.
Contoh bagi mereka ialah tokoh-tokoh da’i dan ahli salaf yang mengembara di serata dunia untuk mengembangkan dakwah dan menyampaikan Islam. Mereka memulakan bicara dan sengaja bergaul dengan orang ramai hanya semata-mata dengan tujuan dakwah. Mereka tidak menunggu-nunggu orang ramai untuk datang dan bertanya kepada mereka
Begitulah sikap da’i yang sentiasanya….
Da’i Islam pada hari ini mesti menjadi pengembara dan banyak berjalan ke seluruh pelusuk bandar, kampung dan negeri untuk menyampaikan Islam kepada manusia.
Sebagai contoh, lihatlah bagaimana utusan-utusan Rasulullah S.A.W. yang  round ke serata lembah dan kampung-kampung pedalaman untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia Arab. Mereka tidak menunggu orang datang ke Madinah. Cubalah lihat, apakah jawapan baginda saw apabila seorang badwi bertanya kepada baginda tentang rukun Islam. Bila Rasulullah saw menjawab, orang badwi tersebut berkata: “Tidak aku tambah atau aku kurangkan sesuatupun darinya.”
Orang badwi tersebut ketika memulakan soalannya sebenarnya berkata: “Hai Muhammad, utusanmu telah datang kepada kami dan telah menyatakan kepada kami bahawa kamu mengatakan bahawa Allah telah mengutus kamu?” 103
Jelaslah bahawa utusan Rasulullah saw telah pergi menemui mereka sebagai da’i. Manusia perlu didatangi. Sesiapa yang hanya menunggu orang ramai datang kepadanya, orang itu bukanlah seorang da’i.
Jika diperincikan lagi kata-kata orang badwi tersebut, ternyata kepada kita bagaimana sahabat yang berdakwah itu sanggup meninggalkan Madinah apabila mereka dihantar oleh Nabi s.a.w. untuk pergi kepada kaum ini. Mereka meninggalkan keluarga, rumah dan anak-anak mereka. Mereka mengharungi padang-padang pasir, bukit-bukau dan gunung-ganang. Mereka terdedah kepada bahaya, sanggup berpanas dan berhujan demi menyampaikan Islam
Inilah dia bentuk dakwah yang ingin mencapai matlamatnya. Ia perlu bergerak dan dimulakan, pagi dan petang, dengan perbualan dan perkataan yang benar. Sikap duduk dan berangan-angan atau mengharap tidak akan sampai ke mana. Fahamilah seerah para salaf dan turutilah mereka. Pasti kamu akan sampai ke matlamat. Jika tidak, mundar-­mandirlah sahaja di tempat kamu, dan kamu tidak akan sampai ke mana-mana.


Nota Kaki
  1. Abdullah bin al-Mubarak, Kitab Al-Zuhd, m.s. 390
  2. Al-Subki, Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra, Jilid 1, m.s. 287 (Hadis yang dimaksudkan oleh Ibnu Mubarak ini ialah Hadis sahih riwayat Tarmizi, Nasa’I, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ahmad: Tidak akan bertemu debu jihad dengan api neraka Jahannam- editor)
  3. Atau bukan kerana banyak beribadah, tapi lebih teruk lagi hanya sibuk dengan games komputer, shopping, berbual kosong, banyak tidur, menonton bolasepak, rancangan hiburan, movie korea, anime dan lain-lain yang tidak ada kaitan langsung dengan dakwah sedikitpun- editor.
  4. Syeikh Abdul Qadir, Al-Fath al-Rabbani, m.s. 73 (dengan sedikit pemotongan)
  5. Ibnu al-Jauzi, Said al-Khatir, m.s. 224, karangan Muhammad al-Ghazali
  6. Majalah al-Muslimun, Bil. 3, m.s. 199, (Petikan dari Qasidah yang panjang)
  7. Tabaqat Ibnu Saad, Jilid 3, m.s. 221
  8. Ihya’ Ulumuddin, Jilid 2, m.s. 242
  9. Terdapat dua pendapat ulama tafsir dalam memahami ayat ini. Siapakah yang berangkat memahami deen itu? Kelompok yang keluar berjihad atau kelompok lain? Tabari, Hasan Basri, Ibnu Abbas dan satu pendapat Ibnu Kathir mengatakan kelompok yang keluar berjihad. Lihat Zilal dalam tafsir ayat tersebut.
  10. Seperti diceritakan oleh Allah di dalam surah Al-Ahqaf: 29.
  11. Ibnu Taimiyah,, Majmu’ Fatawa, Jilid 12, m.s. 327
  12. Ibnu al-Qayyim, Iddah al-Sabirin wa Dakhirah al-Syakirin, m.s. 93
  13. Sahih Muslim, Jilid 1, m.s. 32

0 comments:

Post a Comment

Pustaka Hati. Powered by Blogger.