17. Fokus, Bukannya Meramaikan
SumberBAB 17: FOKUS, BUKANNYA MERAMAIKAN
Pemeliharaan kedua pula terletak pada proses tajmik yang sesuai dengan usaha kerja para murabbi; sekira-kira mereka semua boleh diperdengarkan kata-kata yang diberikan, dengan fokus yang berkesan dan mampu pula menghalang pengaruh yang datang dari luar.
Proses kedua ini memang sukar. Kesukaran yang dimaksudkan ialah sukar untuk mengawal keinginan kejiwaan yang memang wujud pada setiap manusia. Manusia sukakan ‘melimpah ruah’ dalam apa jua perkara, sepertimana yang telah ditunjukkan secara ringkas oleh al-Quran:
أَلْهَاكُمْ التَّكَاثُرُ
“Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan memperbanyakkan.” (At-Takathur 102: 1)Manusia sukakan banyak kuantiti pada harta, ilmu, anak-anak dan pengikut, bahkan apa saja perkara. Itulah tabiat atau kecenderungan yang tidak mungkin dikawal kecuali dengan tarbiyyah yang mendalam.
Bahaya pengabaian aspek ini adalah kerana rasa puas pada kehendak naluri yang akan membawa kepada ke’mabukan’. Ke’mabukan’ itu adalah satu keadaan jiwa yang berkesan negatif pada akal dan membuatkannya jadi lena. Rasa ke’mabukan’ itu lawan kepada ‘takut’. Dalam jiwa manusia, rasa tenang biasanya bersama dengan ke’mabukan’ dan kewaspadaan pula ada bersama takut.
Telah maklum, akal manusia paling bersedia, sibuk dan paling tajam semasa ia berada dalam keadaan waspada.
Oleh itu, ke’mabukan’ sering disertai dengan tindakan tanpa usul periksa. Semua orang mempunyai sikap begitu sama ada pemimpin atau pengikut kerana rasa melimpah ruah itu menimbulkan rasa tenang dan terjamin.
Pertarungan Jiwa
Pernyataan ini mengukuhkan lagi apa yang kita sebut tentang betapa sukarnya pertarungan yang diharungi oleh dakwah. Medan pertarungannya adalah jiwa manusia yang begitu kompleks dan kusut.
Anda bukan berinteraksi dengan batu-batu keras atau manusia malaikat yang suci dari noda dan dosa. Tetapi, anda berinteraksi dengan jiwa manusia yang mempunyai pelbagai naluri: naluri suka kekal, gemarkan banyak dan melimpah dan naluri seks. Ada pula kecenderungan berdendam, takut, ingin mempertahankan pegangannya dan suka pula menyebarkannya kepada orang lain.
Masyarakat yang berada di hadapan anda adalah himpunan semua naluri, kecenderungan dan keinginan tersebut. Sekiranya anda tidak tahu pintu masuk ke dalam himpunan naluri dan kecenderungan yang dinamakan sebagai ‘mujtamak-masyarakat’ itu, anda pasti akan gagal. Sekiranya anda tidak mengendahkannya atau silap perhitungan, maka ia tidak akan tergugat tetapi andalah yang tergugat.
Naluri itu akan tetap kekal kerana ia diwujudkan untuk kekal -dengan izin Allah-. Andalah akan hancur, dikhianati oleh pertimbangan yang salah dan pandangan silap kerana anda cuba menentang fitrah.
Sesungguhnya jiwa manusialah medan semua revolusi sosial dan politik yang berterusan berlaku dalam sejarah dulu dan kini. Bangkit dan bergerak kerana mahu mengisi perut, memuaskan nafsu seks dan gilakan kemewahan. Kebangkitan kerana membalas terhadap perampas tanahnya atau wanita.
Kebangkitan demi mengembangkan pegangannya atau memerangi orang yang tidak selari dengan pegangannya. Pegangan dalam erti kata yang luas termasuk apa juga nilai, samada haq atau batil.
Itulah lonjakan-lonjakan dan gerakan samada material dan bukan material. Kadangkala gabungan-gabungan lonjakan itu dan kadangkala pula hanya satu darinya. Mereka semua adalah manusia.
Sesetengah manusia ada pada diri mereka kemampuan untuk memimpin dan membawa orang lain ke arah satu bentuk tindakan-tindakan yang didorong oleh naluri dan fitrah ini. Usahanya dan kerja itu kita namakannya sebagai ‘tarbiyyah’.
Pertarungan politik dan peperangan-peperangan yang berlaku tidak lebih hanyalah satu bentuk dari pertarungan-pertarungan jiwa itu.
Semalam Kamu telah dilalaikan oleh kerana ingin banyak.. sekarang berimbanglah !
Oleh itu.. pertarungan kita sebenarnya adalah pertarungan tarbiyyah. Ia menjadi kuat dan mantap bila tarbiyyah dimantapkan dan murabbi menjalankan kerjanya dengan ‘smart’. Ia akan malap bila tarbiyyah menjadi lemah atau hanya dibuat secara melepas batuk di tangga.
Apabila usaha tarbiyyah dilakukan oleh beberapa pimpinan murabbi ditumpukan kepada anak-anak buah, pengaruh dan kesannya akan menjadi lebih mendalam apabila bilangan pelajarnya sedikit, secara ‘berkadar songsang.’ Kesannya akan berkurangan sedikit demi sedikit apabila bilangan mereka bertambah ramai. Berkurangan kesan tarbawi secara otomatik akan menghasilkan tindakan spontan tanpa matlamat yang jelas. Ketika itu terjadilah kebinasaan dan kemusnahan.
Oleh itu, demi maslahah pertarungan kita ini, pimpinan qiyadi yang menjaga kerja tarbiyyah tidak sepatutnya beriya-iya mentajmikkan murid yang ramai melebihi kemampuan usaha pentarbiyyahan yang mereka mampu.
………………….
Inilah penyelesaian kedua bagi menjaga kehancuran yang telah diajarkan kepada kita melalui analisa fenomena tarbawiyyah.
Sejarah harakah Islam tidak berapa lama dahulu telah memperlihatkan pertambahan kuantiti anggota dan mengorbankan kualiti. Ini telah memenat dan melalaikan harakah. Ini sepatutnya memaksa da’i sekarang mengambil pengajaran. Perkembangan yang seimbang adalah pesanan untuk hari esok.
Kita katakan: “Ia adalah pesanan untuk esok kerana kita dapati ramai orang telah melupakannya. Padahal, itulah wasiat lama dari Imam Hassan al-Banna Rahimahullah yang ditegaskan sejak tahun 1938 lagi dalam Muktamar Kelima. Ketika beliau menjelaskan pelbagai jenis manusia bila didepani beban-beban amal. Khayalan langsung tidak menyumbang apa-apa kerana ia hanyalah potret tidak bernyawa sahaja dalam memikul bebanan jihad.
Hassan al-Banna telah berkata:
“Saya mahu berterus terang betul-betul dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung.
Medan cakap tidak sama dengan medan khayal. Medan amal pula bukan medan cakap. Medan jihad tidak sama pula dengan medan amal. Medan jihad yang betul tidak sama pula dengan medan jihad yang silap.
Ramai yang mudah berkhayal namun tidak semua apa yang terbayang di kepala mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ramai yang mampu bercakap namun hanya segelintir daripadanya yang mampu bertahan ketika beramal. Ramai di kalangan segelintir ini yang mampu beramal namun hanya segelintir sahaja di kalangan mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan amal yang nekad. Para mujahid yang kecil jumlahnya ini mungkin juga akan tersilap jalan dan tidak menepati sasaran jika tidak dipelihara oleh Allah. Kisah Talut menjelaskan apa yang saya katakan ini.
Oleh itu, siapkanlah dirimu, bawalah ia dengan tarbiyyah yang betul, ujian yang ketat dan ‘test’lah diri dengan amal, kerja-kerja yang berat, tidak disukai dan sukar. Kekanglah ia dari segala nafsu, adat dan kebiasaan yang biasa dilakukan oleh jiwa.”257
Fiqh itu dipusakai oleh Syed Qutb Rahimahullah. Ini menyebabkan beliau gelisah menjelang hari kematiannya apabila melihat Sudan yang dilanda demonstrasi umat Islam yang merebak dan meluas memenuhi jalan-jalan raya. Beliau pun memberi wasiat kepada para da’i dari Sudan yang melawatnya. Beliau berkata kepada mereka:
“Janganlah sambutan orang ramai itu melalaikan kamu dari menyusun barisan dalaman kamu dan dari menyediakan rijal yang mampu menghadapi segala kesukaran dan dapat bertahan lama.”258
Sebenarnya pentingnya wujud barisan dalaman yang mantap ini bukan hanya untuk melepasi syarat tanzimi dan memudahkan penggunaan tenaga secara selaras sahaja TETAPI sebenarnya kewujudan “masyarakat tarbawi” ini akan mampu menjadi nursery mutarabbi-mutarabbi baru. Ia juga akan mampu memperlihatkan bentuk-bentuk amali Islami kepada mereka dan mendinding pula mereka dari melihat jahiliyyah dan para jahiliyyah. Ia juga akan menghalang mutarabbi dari mendengar fikrah jahiliyyah dan sekaligus menjauhkan mutarabbi ini dari terkesan dengan pengaruh tarbiyyah yang bukan Islam.
Oleh itulah Imam al-Ghazali Rahimahullah telah mewajibkan kita supaya segera menghalang dan melindung kefasikan dari dilihat agak penampakannya tidak akan mempengaruhi jiwa umat Islam. Beliau berkata:
“Melihat suatu yang fasik akan meremehkan perkara maksiat pada hati dan mengurangkan rasa benci hati terhadapnya (maksiat).”259
Ini bermakna wujudnya beberapa kefasikan (fasiq dalam kata erti syara’) pada orang-orang yang ditajmik akibat kurangnya kemampuan tenaga tarbiyah kita untuk menghapuskan unsur itu dari mereka, dan disebabkan juga kerana bilangan mereka yang ramai, MAKA penyakit ini berkemungkinan akan merebak kumannya kepada anasir mad’u yang bersih. Ini kerana memang menjadi tabiat kehidupan berjemaah; memandang akan membawa kepada peniruan.
Disamping itu, ‘round-round’ yang terpaksa dilakukan oleh da’I ke tengah-tengah masyarakat untuk berdakwah, memberi tarbiyyah secara amali kepada mereka dan untuk menambah anasir baru untuk dakwah, ini semua juga ada kemungkinannya akan menyebabkan dia kurang sensitif dengan maksiat di dalam hatinya. Ini kerana dia berada terlalu lama di tengah-tengah orang ramai dan banyaknya maksiat di dalam kehidupan awam (mangsa keadaan). Oleh itu, da’i berkenaan sepatutnya selalu berjumpa dengan masyarakat da’i yang bersih demi untuk menyejukkan matanya kembali melihat pemandangan iman yang berlainan dengan pemandangan maksiat di luar sana. Ia sentiasa berulang alik di antara orang ramai (MK) dan masyarakat khas yang akan menjernihkan hatinya kembali yang mungkin telah dinodai oleh masyarakat am.
Ini dengan sendirinya menuntut kita berusaha sungguh-sungguh membersihkan masyarakat khas ini supaya dia dapat melaksanakan peranan tarbiyyahnya untuk setiap da’I yang bekerja round-round di tengah-tengah masyarakat apabila mereka kembali kepada masyarakat khas yang jernih dan bersih itu. Kejernihan ini tidak mungkin dihasilkan kecuali dengan perkembangan yang seimbang dengan kemampuan usaha tarbiyyah.
Sebagaimana perkembangan meluas yang cepat itu akan memakan tenaga yang ada. Ia juga melemahkan hasil natijah yang lampau.
Peranan Tajammu’ Dalam Penyempurnaan tarbiyyah
Da’i yang merdeka dan responsif terhadap perkembangan dan keperluan semasa gerakan Islam akan sentiasa melihat Umar bin al-Khattab r.a. berdiri di depannya dan berdoa dengan doanya yang masyhur: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari kekentalan orang jahat dan kelemahan orang yang thiqah.”
Otot-otot da’i ini menggeletar kerana takut, terharu hatinya kerana berharap kepada rahmat Tuhannya. Dia segera menggunakan seluruh kemampuan tarbiyyah amal jama’I untuk melaksanakan harapan Umar itu. Dia berusaha menyedarkan orang-orang yang baik tetapi lemah dan ‘betul bendul’. Dia cuba melembutkan hati orang yang kuat, aktif dan giat bekerja tetapi ia sendiri kadangkalanya meringankan sesetengah amalan keimanan. Usaha ini cuba untuk mengatasi kekurangan dan akan menambahkan bilangan ‘thiqat’ yang akan menggabungkan antara kesedaran dan kekuatan kerja.
Unsur kuat dan amanah ‘al-qawiyy al-amiin’ adalah dua unsur paling sesuai untuk mendukung dakwah. Sifat jihad mesti disempurnakan pada si mukmin dan iman para mujahid pula mesti diperdalamkan, sebagaimana firman Allah S.W.T.:
وَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْ بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُوْلَئِكَ مِنْكُمْ
“Orang-orang yang beriman sesudah itu dan berhijrah lagi berjihad bersama kamu, mereka itu dari (golongan)kamu.”(Al-Anfal 8: 75)Ibnu Taimiyah berkata: “Allah telah mengikat di antara Muhajirin dan Ansar dan di antara orang-orang yang beriman selepas mereka dan berhijrah hingga hari qiamat. Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah. Begitu juga jihad, terus berlaku kekal hingga hari kiamat.
Setiap individu mampu menegakkan sifat muhajir dan mujahid pada dirinya. Banyak jiwa-jiwa yang baik cenderung untuk menghijrahkan kejahatan tetapi tidak mahu berjihad. Banyak jiwa-jiwa yang kuat pula cenderung untuk berjihad tetapi tidak berhijrah meninggalkan kejahatan.
Allah telah mengikat muwalah bagi sesiapa yang mempunyai kedua-dua sifat ini (hijrah dan jihad) dalam dirinya. Mereka ialah umat Muhammad S.A.W. yang beriman kepadanya dengan iman yang sebenar.260
Membina da’i yang memiliki kedua-dua sifat ini dan menjadikan semasa Islam melahirkan kebaikan-kebaikan dari kedua-dua golongan tersebut, ia merupakan dua tugas asasi bagi tarbiyyah harakiyyah kita.
Bagi yang pertama, orang yang beriman tetapi tidak bekerja atau orang yang sedar tetapi berhati keras: tarbiyyah Islam akan dapat menyempurnakan kekurangan mereka di bawah asuhan da’I sebelum mereka.
Dan bagi semasa Islam pula; tarbiyyah akan menyelaraskan usaha dua golongan ini secara disempurnakan dan distabilkan. Ia disatukan serta dirancang kegiatannya sehingga hasilnya membentuk kombinasi yang mantap.
Tiada Usaha Yang Sia-sia, Cuma Kejayaan Yang mungkin lewat sedikit
Apabila kita beriya-iya menjelaskan betapa perlunya keseimbangan peluasan sedangkan kita telah lama berjalan, maka ini menyebabkan seolah-olah bumi ini sempit kepada da’I yang bersemangat. Mereka rasa dakwah akan gagal sekiranya ia tidak berlumba-lumba meramaikan ahlinya.
Kita tidak nafikan bahawa terdapat kesilapan lampau yang telah menghalang dakwah ini dari berkembang di banyak tempat di dunia Islam sedangkan telah wujud peluang yang luas dan suasana aman serta tersedia untuk menerima dakwah. Parti-parti politik yang sesat telah menggunakan kelembapan da’i Islam lalu mereka pun menapak beberapa langkah lebih jauh ke depan. TETAPI, kesilapan tidak mungkin diperbaiki dengan melakukan kesilapan yang lain.
Penilaian terhadap kegagalan dan kejayaan dakwah pada waktu-waktu tertentu tidaklah bergantung kepada statistik berapa ramai yang mampu dipindahkan dari lembah hanyut kepada menyertai barisan dakwah.
Ini kerana dakwah Islam telah menjadi sebab terhidayahnya ribuan pemuda dan terpeliharanya mereka dari kejahatan dan kesesatan -meskipun mereka tidak menyertai barisan dakwah kerana apa alasan pun. Ini sudah menjadi satu yang sangat besar bagi Islam.
Ia adalah suatu yang besar selama mana dakwah Islam telah menjadi seumpama sebuah oasis di tengah-tengah padang pasir kontang,angkatan musafir yang berkelana berteduh di bawah naungannya, meminum airnya dan bermesra dengan penduduknya.
Betapa ramai pemuda-pemuda yang telah mendapat asuhan dakwah di zaman muda mereka dan mereka melalui zaman muda mereka dengan selamat, menikmati teduhan dakwah dan bergaul rapat dengan da’I walaupun selepas itu mereka tidak dapat meneruskan perjalanan oleh sebab takut atau terpujuk.
Betapa ramai orang yang was-was telah ditarik oleh dakwah Islam kembali kepada yakin semula. Dari seorang mukmin yang jahil kepada berilmu. Semua ini sangat besar ertinya di dalam pertimbangan syarak.
Dakwah telah banyak menjelaskan banyak perkara-perkara syubhah dan samar, menolak tuduhan terhadap Islam dan membela maruah yang dizalimi. Semua sumbangan itu sangat besar ertinya di sisi Islam.
Oleh itu, kita tidak seharusnya berpandangan pesimis menyebabkan putus asa di kalangan amilin kerana dakwah tidaklah gagal. Dengan izin Allah, pahala yang sangat besar sedang menanti sesiapa yang ingin bersama-sama di dalamnya. Sama sepertimana kita menunggu buah yang banyak dari pohon yang ditanam semalam.
Manusia ramai. Hasil usaha dakwah dulu dan sekarang telah menyebabkan sedang berlakunya pertarungan antara iman dan jahiliyyah dalam jiwa mereka. Sekarang, pertarungan jiwa itu berlaku dengan hebatnya di dalam diri mereka, cuma ianya tidak dapat dilihat. Persoalan yang berkocak di jiwa mereka ialah, adakah mereka akan beriman dan mengakui apa yang disebutkan oleh da’i Islam ataupun mereka akan terus kekal dengan keadaan mereka? Golongan ini pasti menuju kepada iman apabila kebenaran telah terbentang jelas di hadapan. Melalui satu goncangan kuat yang menyentak mereka lalu membuka tabir yang menutup hati mereka sehingga cahaya iman memancar terus ke hati. Sama seperti Islam mengejut sebahagian daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW.. Contohnya Umar al-Khattab r.a. semasa melintasi bukit Safa lalu terdengar adiknya membaca al-Quran, lalu dia Islam di situ juga. Atau seperti Hamzah bin Abdul Mutalib ketika kembali dari memburu, tiba-tiba mendengar kerja jahat dilakuka terhadap Rasulullah S.A.W. Dia terus beriman dan pecahlah belenggu jahiliyyah dari dirinya.
Boleh ker dikatakan bahawa sebab-sebab imannya mereka itu datang sekelip mata? Tidak !Sebenarnya, nilai-nilai iman telah lama bergelora di dalam jiwa mereka dan pertarungan antara iman dan jahiliyyah telah berlaku di dalam diri mereka. Pertarungan itu terus bersemarak di jiwa mereka sehingga kebaikan dan keimanan melimpah ruah di dalam jiwa.
Sekiranya hari ini kita menekankan perlunya pemantapan tarbiyyah Islam dan membataskannya kepada anggota barisan terpilih dan perlunya mengimbangkan antara tarbiyyah dengan peluasan dakwah, maka ianya sebenarnya adalah untuk memenuhi keperluan mereka yang sedang mengalami konflik jiwa yang hebat tadi. Mereka sebenarnya sedang menuju ke arah kita dan tidak lama lagi akan sampai. Peristiwa yang menggegarkan itu hanya diketahui oleh Allah. Moga Allah merahmati orang-orang yang sabar. Sesiapa yang tidak mahu percaya dengan hakikat ini, dia perlu kembali mengkaji semula sirah dan sejarah baru…
Moga solawat Allah kepada Nabi saw, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya…
Siap Retype, Re-Edit & layout pada 3.31 pm 7 Zil Hijjah 1424/ 29 Jan 2004, K.B, BDS dengan bantuan Bro. MMZ & NZNH
Terjemahan revisi kedua al-Muntalaq oleh Dr. Yue Qiu Wai (Ph.D- Syariah), dimulakan pada Rabiul Akhir 1427/ Mei 2007 dan tamat pada Jamaadil Awwal 1431/Mei 2010 di Beiwai, Beijing.
Terjemahan revisi kedua al-Muntalaq oleh Dr. Yue Qiu Wai (Ph.D- Syariah), dimulakan pada Rabiul Akhir 1427/ Mei 2007 dan tamat pada Jamaadil Awwal 1431/Mei 2010 di Beiwai, Beijing.
Nota Kaki
0 comments:
Post a Comment